My Add

Wednesday 20 June 2012

Bayaran khidmat tak setimpal

Oleh NORHIDAYU MOHD. HASSAN 
KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Jun, 2012: Bayaran perkhidmatan yang tidak setimpal dengan pengalaman dan tenaga kerja dikatakan menjadi punca masalah kekurangan guru sukar diatasi.

Perkara berkenaan bukan sahaja gagal menarik pesara guru kembali menyumbang khidmat, malah gagal mengajak anak tempatan menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) termasuk untuk mengajar di kawasan pedalaman.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Hashim Adnan (gambar) berkata, kerajaan wajar meneliti semula bayaran tersebut agar dapat menarik ramai yang berkelulusan serta berkelayakan memilih kerjaya guru.

"Senarai pesara guru dalam bank guru di setiap negeri sebenarnya mampu menampung kekurangan itu, namun ia tidak berjaya disebabkan operasinya tidak aktif serta bayaran perkhidmatan tidak memuaskan.

"NUTP berharap kerajaan, persatuan guru-guru dan pesara guru dapat duduk semeja dan berbincang perkara ini sekali gus mencari penyelesaian terbaik mengatasi masalah kekurangan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengakui kerajaan masih gagal menyelesaikan sepenuhnya masalah kekurangan guru di negara ini.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGGMB),Mohamed Sabri Mohd. Arsad pula mencadangkan kerajaan tidak bergantung kepada pesara guru semata- mata sebaliknya mencari inisiatif seperti mengadakan temu duga di kalangan mereka yang sedang mencari pekerjaan.

Katanya, menerusi temu duga itu mereka yang layak dan mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu boleh dimasukkan dalam senarai data simpanan.

"Apabila wujudnya kekosongan, kementerian boleh memanggil mereka yang berminat mengisi kekurangan tersebut selain memberi bayaran perkhidmatan yang berpatutan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment