My Add

Tuesday 19 June 2012

Bekerjasama bangunkan teknologi urus sisa pepejal

KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Jun, 2012: Kerajaan bercadang membuka tender pengurusan sisa pepejal kepada syarikat asing yang mempunyai teknologi baru dalam bidang itu tahun depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung. 

Beliau berkata, syarikat asing berkenaan bagaimanapun harus bekerjasama dengan syarikat tempatan yang terbabit dalam perkhidmatan itu selain perlu mematuhi syarat yang akan dikemukakan kerajaan.

Chor berkata, negara memerlukan tindakan rancangan jangka panjang bagi pengurusan sisa pepejal secara efektif walaupun masih mampu membina lebih banyak tapak pelupusan.

Antara teknologi baru yang dicadang digunakan di sini ialah Insinerator, iaitu loji rawatan perolehan haba yang berfungsi untuk membakar sisa pepejal, dan proses pembakaran itu boleh diguna untuk menjana tenaga elektrik. 

"Antara negara yang menggunakan teknologi Insinerator itu ialah Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan Singapura. 

"Penggunaan Insinerator ini tidak akan membahayakan kesihatan rakyat dan alam sekitar. Ia akan sentiasa dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar," katanya kepada pemberita selepas melawat pameran hasil lab pengurusan sisa pepejal di Stesen Sentral Kuala Lumpur, hari ini. 

Malah katanya, melalui penggunaan teknologi Insinerator, hanya 10 peratus sisa pepejal yang tidak sesuai mengunakan insinerator itu akan dihantar ke tapak rawatan pelupusan sampah. 
Insinerator itu mampu membakar lebih 500 tan sisa pepejal setiap hari, katanya. 

Teknologi baru lain yang dicadangkan ialah "Anaerobic digestion", iaitu sistem untuk rawatan sisa makanan dan hasilnya boleh diguna sebagai baja. Proses itu juga boleh menghasilkan gas metana. 

Mengulas mengenai pameran itu yang dianjurkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Chor berkata, pameran itu adalah bagi memberi gambaran awal kepada orang ramai mengenai teknologi yang mungkin akan dibangunkan oleh kerajaan bagi menguruskan sisa pepejal. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment