My Add

Thursday 21 June 2012

Bekerjasama kekalkan kestabilan politik - Najib

KUALA LUMPUR, RABU, 20 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kestabilan dan kepastian politik adalah faktor yang sangat penting bagi pembangunan ekonomi dan negara.

Menurut Perdana Menteri, sebarang bentuk ketidaktentuan dalam kestabilan politik hanya mengundang peningkatan risiko perniagaan, seterusnya kos produk meningkat dan pelaburan asing berkurangan serta nilai saham di pasaran akan menurun.

"Aset dan kekayaan di dalam negara akan menyusut jika kita tidak bekerjasama bagi mengekalkan kestabilan dan kepastian politik di negara ini.

"Saya berharap agar kita dapat bekerjasama untuk memastikan bukan sahaja perjalanan program transformasi malah pembaharuan serta perubahan tulen mengambil tempat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Ke-66 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden ACCCIM, Tan Sri William Cheng dan timbalannya, Datuk Lim Kok Cheong.

Najib berkata, kerajaan tidak menjanjikan sesuatu yang tidak boleh dilakukan tetapi berusaha menunaikannya dengan memberi yang terbaik.

"Kita komited dalam menangani isu dan cabaran dihadapi sektor perniagaan, memecahkan kekangan yang wujud, mendorong penambahbaikan bukan hanya iklim pelaburan malah kualiti hidup rakyat Malaysia," ujarnya.

Beliau menjelaskan, suasana ekonomi global yang muram dan kegawatan kewangan di zon Euro dijangka memberi risiko serius terhadap ekonomi dunia.

"Kita perlu memastikan ekonomi negara berada pada kedudukan paling kukuh bagi mengharungi kegawatan ekonomi global.

"Kita perlu berusaha bermati-matian bagi mengukuhkan daya saing produk serta perkhidmatan Malaysia dan meraih peluang baru di pasaran bukan tradisi bagi mengekalkan prestasi eksport negara," jelasnya.

Dalam pada itu, Najib berkata, sektor swasta memainkan peranan yang semakin penting di dalam membentuk iklim pelaburan.

"Saya akan mengumumkan satu siri insentif pelaburan dari semasa ke semasa bagi menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik.

"Justeru, saya meminta usahawan Cina Malaysia meningkatkan pelaburan domestik anda dan menggunakan rangkaian serta kenalan dalam meningkatkan pelaburan orang Cina di Malaysia," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment