My Add

Tuesday 19 June 2012

Berbasikal 1,900km promosi hijau dan amal

KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Jun, 2012: Seramai tujuh sukarelawan akan berbasikal sejauh 1,900 kilometer menjelajahi Semenanjung Malaysia menerusi program amal “Cyclothon Malaysia 2012”, yang bertemakan “Menerokai Malaysia Melalui Jalan Hijau”, dari 22 Jun hingga 4 Julai.

Pengerusi penganjur program itu, P. Rajendran berkata, program itu akan diketuai penunggang basikal berpengalaman Mark Adams bersama-sama Pengerusi Kelab Rotary Titiwangsa, Loke Siang Siang serta beberapa pelajar dari ELC International School.

"Tujuan kami untuk mempromosikan aktiviti hijau yang baik untuk alam sekitar kerana ia acara tanpa elektrik dan petrol” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, semasa perjalanan itu, mereka akan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan seperti menanam pokok, lawatan ke sekolah, ceramah mengenai alam sekitar, mesyuarat dengan pemimpin tempatan, meraikan kanak-kanak kurang bernasib baik dan bertemu dengan masyarakat setempat pada setiap destinasi persinggahan.

Kayuhan selama 13 hari itu akan bermula pada 22 Jun ini di Taman Tun Dr Ismail ke Seremban sebelum ke Melaka, Batu Pahat, Johor Bahru, Endau, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu, Tasik Temenggor, Kulim, Kuala Kangsar, Sabak Bernam dan berakhir semula di Kuala Lumpur pada 4 Julai. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment