My Add

Monday 25 June 2012

Berjaya Books dibenar cabar rampasan buku Irshad Manji

KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Jun, 2012: Berjaya Books Sdn Bhd, pemilik kedai buku Borders, dan dua yang lain, hari ini mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi untuk mencabar tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) merampas buku kontroversi tulisan Irshad Manji daripada sebuah kedainya. 

Hakim Datuk Rohana Yusuf meluluskan permohonan semakan semula penghakiman yang dikemukakan Berjaya Books, Pengurus Besar Operasi dan Barangan Borders Fung Wye Keong dan Pengurus Stor kedai buku Borders di The Gardens di Mid Valley City, Nik Raina Nik Abdul Aziz.

Hakim berkenaan, yang membuat keputusan itu dalam kamarnya, juga menolak bantahan awal terhadap permohonan itu oleh Jabatan Peguam Negara.

Hakim Rohana mengeluarkan perintah itu selepas mendengar hujah peguam Rosli Dahlan yang mewakili ketiga-tiga pemohon serta Peguam Kanan Persekutuan Nurul Farhana Khalid yang mewakili responden - Jawi, Menteri Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam. 

Bercakap kepada pemberita, Rosli berkata hakim memberi kebenaran itu atas alasan permohonan berkenan mempunyai merit, tidak pramatang dan Mahkamah Tinggi Sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu. Beliau berkata mahkamah menetapkan 5 Sept sebagai tarikh untuk mendengar semakan semula penghakiman itu. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment