My Add

Thursday 7 June 2012

Bomba selamat 5 mangsa termasuk 2 bayi

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 Jun, 2012: Kecekapan bomba berjaya menyelamatkan lima nyawa daripada lemas akibat terhidu asap tebal dalam kebakaran sebuah bengkel kereta di bangunan kedai dua tingkat, di Jalan Taman Intan Baiduri, Batu Caves, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Mohd Fuzi Ismail, berkata ketika kejadian 11.40 pagi itu, dua wanita, seorang lelaki berumur 20 hingga 55 tahun dan dua bayi perempuan berusia tujuh serta 19 bulan terperangkap di bahagian atas bangunan berjaya dikeluarkan melalui tangga.

Semua mereka tidak cedera hanya sesak nafas dan dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Mohd Fuzi berkata, tujuh jentera bomba dari Jinjang, Jalan Hang Tuah, Sri Hartamas, Sentul dan Gombak Selatan dengan 56 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 11.48 pagi.

"Api membakar dengan marak menyebabkan bengkel itu hangus namun dapat dipadamkan setengah jam kemudian dan disekat merebak ke kawasan rumah. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan namun ada saksi mengatakan terdengar bunyi letupan daripada salah sebuah kereta yang berada dalam bengkel dan ini disahkan oleh pemilik bengkel, Alan Ong, 42.

"Saya terkejut apabila terdengar bunyi letupan yang kuat disusuli percikan api daripada enjin sebuah kereta di dalam kedai. Pada masa itu saya dan dua lagi pekerja sedang membaiki kereta di bahagian belakang. 

"Kami cuba memadamkan api menggunakan beberapa alat pemadam namun tidak berjaya dan terus melarikan diri," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pekerjanya berjaya menyelamatkan dua kereta yang sedang dibaiki diparkir di belakang kedai.

Ong menganggarkan kerugian dialaminya sekitar RM40,000. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment