My Add

Saturday 16 June 2012

China kuasai 30% ekuiti dalam taman industri

PUTRAJAYA, JUMAAT, 15 Jun, 2012: Syarikat yang membangunkan Taman Perindustrian Qinzhou di Nanning, Guangxi, China, bersetuju memperoleh 30 peratus kepentingan dalam Taman Perindustrian Kuantan Malaysia- China (MCKIP), Pahang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Beliau berkata, MCKIP adalah taman perindustian kembar kepada Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia di Tenggara China, dan merupakan bukti usaha sama kukuh dan simbol perniagaan yang semakin berkembang antara kedua-dua negara.

"Saya dimaklumkan oleh Tan Sri Ong Ka Ting (Duta Khas Perdana Menteri ke China, Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-China dan Penyelaras Projek) bahawa syarikat usaha sama China-Malaysia yang membangunkan Taman Perindustrian Qinzhou, bersetuju memperoleh 30 peratus ekuiti syarikat usaha sama yang akan membangunkan taman perindustrian di Kuantan.

"Setelah kami menguruskan baki ekuiti berkenaan, saya yakin kerja-kerja fizikal boleh bermula," kata Najib pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum itu, Perdana Menteri dan Anggota Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) He Guaqiang menyaksikan perjanjian antara Malaysia dan China bagi Kerjasama dalam urusan MCKIP.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Menteri Perdagangan China, Chen Jian.

Selain itu, surat hasrat bagi penubuhan usaha sama ekonomi antara Majlis Perbandaran Kuantan dan Bandar raya Qinzhou, turut ditandatangani oleh Presiden Majlis Perbandaran Kuantan, Datuk Zulkifli Yaacob dan Setiausaha Bandar raya Qinzhou Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Zhang XiaoQin.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Sementara itu, Najib memberitahu, hubungan antara China dan Malaysia semakin kukuh sejak hubungan diplomatik terjalin pada 1974. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment