My Add

Friday 15 June 2012

CUEPACS sambut baik pindaan had umur persaraan swasta

MUAR, KHAMIS, 14 Jun, 2012: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, mengalu-alukan pembentangan cadangan menaikkan had umur persaraan pekerja sektor swasta kepada 60 tahun di Dewan Rakyat, semalam. 

Omar berkata, cadangan itu jika diluluskan adalah selaras dengan keputusan kerajaan menaikkan had umur bersara kepada penjawat awam baru-baru ini.

"Ia juga akan meletakkan Malaysia setanding dengan negara Asia lain yang sudah menaikkan had umur persaraan sektor swasta kepada 60 tahun," katanya kepada pemberita di bengkel Suruhanjaya Transformasi Perkhidmatan Awam, di sini, hari ini.

Beliau, bagaimanapun, mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu mekanisme bagi memantau pelaksanaan cadangan kenaikan had umur persaraan itu bagi mengelakkan adanya majikan yang mengambil kesempatan mengurangkan pekerja sewenang-wenangnya. 

Omar berkata, langkah itu penting kerana denda RM10,000 kepada syarikat besar yang memberhentikan pekerja yang belum mencapai umur 60 tahun, boleh dianggap tidak begitu berat. 

Beliau berkata, cadangan itu wajar dimulakan kepada syarikat swasta secara berperingkat kerana ia turut membabitkan syarikat perusahan kecil dan sederhana (PKS) supaya tidak menyulitkan mereka. 

Sementara itu, mengenai bengkel berkenaan, Omar berkata tumpuan diberikan bagi mencari formula penambahbaikan terhadap Skim Saraan Malaysia (SSM) dan kesan daripada pembatalan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). 

"Hasil daripada rumusan bengkel selama tiga hari ini akan dikemukakan kepada perdana menteri," katanya sambil menegaskan ia diadakan sebagai bukti bahawa CUEPACS tidak hanya menjadi kumpulan pendesak tetapi turut memberi penekanan terhadap usaha penambahbaikan perkhidmatan awam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment