My Add

Thursday 21 June 2012

DUN Kota Siputeh: Mahkamah dengar rayuan

Oleh NORLIZAH ABAS
PUTRAJAYA, RABU, 20 Jun, 2012: Mahkamah Persekutuan akan menentukan sama ada kegagalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kedah menghadiri sidang Dewan 'secara berturut-turut', boleh mengakibatkan wakil rakyat berkenaan kehilangan kerusi yang diwakili.

Mahkamah turut akan memutuskan tafsiran yang betul terhadap Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah (UTKNK) bagi menjelaskan maksud `dua sidang Dewan berturut-turut' sama ada ia bermaksud `dalam sesi mesyuarat yang sama atau berlainan'.

Persoalan tersebut akan diputuskan oleh panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin pada satu tarikh yang akan ditetapkan.

Perkara 51 UTKNK menyatakan seseorang ADUN boleh kehilangan kerusi yang diwakilinya jika gagal menghadiri dua sidang Dewan berturut-turut tanpa mendapat kebenaran Speaker.

Kerusi DUN Kota Siputeh yang disandang oleh Datuk Abu Hassan Sarif dikosongkan oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 16 November 2009 selepas beliau gagal menghadiri dua sidang Dewan secara berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos 2009.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 18 Ogos tahun lalu mengembalikan kerusi itu kepada wakil rakyat tersebut menyebabkan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail mengemukakan rayuan ke mahkamah tertinggi negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment