My Add

Saturday 16 June 2012

Dungun bakal miliki pelabuhan mini

DUNGUN, SABTU, 16 Jun, 2012: Daerah Dungun dijangka mempunyai pelabuhan mini apabila cadangan pembinaannya di Kuala Dungun menjadi kenyataan dalam masa terdekat. 

Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh berkata, beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

“Kini, projek mendalamkan sungai di Kuala Dungun sedang berjalan lancar dengan kerja-kerja pembinaan benteng penahan ombak hampir siap.

“Apabila kerja mendalamkan sungai selesai, barulah kita boleh memfokuskan terhadap pembinaan pelabuhan mini di Kuala Dungun,” katanya selepas merasmikan program 1Malaysia Green And Clean di Hutan Lipur Chemerong di sini, semalam. 

Kewujudan pelabuhan itu akan mengimbas semula kegemilangan Dungun yang pernah menjadi pusat pelabuhan antarabangsa sekitar 60-an hingga 70-an apabila ia menjadi pelabuhan utama untuk pengangkutan bijih besi dari pusat perlombongan di Bukit Besi. 

Ketika ini, Kuantan dan Kemaman adalah antara pelabuhan terbesar di pantai timur dalam aktiviti penghantaran bahan industri dan balak serta baik pulih kapal. 

Matulidi berkata, dengan kewujudan pelabuhan mini itu, ia bukan sahaja akan merancakkan ekonomi setempat malah boleh menjana sumber pendapatan kepada penduduk dari aspek pelancongan.

“Kita sedar, Dungun adalah antara daerah yang agak terkebelakang dari aspek pelancongan sedangkan kita pernah menjadi tumpuan dunia apabila Rantau Abang menjadi lokasi pendaratan penyu sekitar tahun 70-an dulu. 

“Strategi baru perlu diambil untuk melonjakkan semula tempat pelancongan di Dungun seperti Hutan Lipur Chemerong, Rantau Abang, Pasir Raja dan Pulau Tenggol," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment