My Add

Monday 18 June 2012

Gelombang Biru semakin bertebaran di seluruh Perak

TAIPING, AHAD, 17 Jun, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Gelombang Biru yang semakin bertebaran di seluruh Perak adalah manifestasi sokongan rakyat negeri ini terhadap Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kehadiran lebih 70,000 pengunjung berbilang kaum pada majlis pelancaran Janji Ditepati peringkat negeri Perak hari ini adalah antara petanda jelas bahawa rakyat negeri ini akan memilih BN dalam pilihan raya umum akan datang.

''Gelombang-gelombang biru telah meningkat, inilah manifestasi sokongan rakyat. Apabila pilihan raya sampai, orang Perak tiada pilihan lain selain menyokong BN untuk kita laksanakan agenda menepati janji," katanya ketika berucap melancarkan program tersebut di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kamunting di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaaffar serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Muhyiddin berkata, seperti di negeri-negeri lain, rakyat Perak memberi sokongan yang cukup besar kepada program berkenaan sekali gus mencerminkan keyakinan mereka terhadap kesungguhan Perdana Menteri dalam menunaikan janji-janji kerajaan kepada rakyat.

''Kehadiran saudara dan saudari juga menunjukkan betapa anda berasa dekat dengan kepimpinan kerajaan pada hari ini untuk membantu rakyat melayari bahtera hidup dalam keadaan yang lebih baik, lebih bahagia dan harmoni pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata, sepanjang 55 tahun menerajui tampuk pentadbiran negara, BN berjaya melunaskan janji-janjinya untuk membawa pelbagai perubahan sehingga menjadikan Malaysia yang satu ketika dahulu hanya sebuah negara pertanian, kini muncul negara membangun yang dicontohi dunia.

''Walaupun kita mempunyai kepelbagaian kaum dan resam agama yang berbeza-beza, namun atas dasar kerajaan, rakyat boleh hidup bersatu serta bekerjasama. Kita berjanji akan mengekalkan hubungan baik ini.

''Soal perpaduan tidak boleh dianggap sebagai perkara lumrah sebaliknya memerlukan keazaman, permuafakatan serta kerjasama bagi mengelakkan berlakunya krisis antara kaum," ujar beliau.

Sempena pelancaran program itu, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan Gerakan 1Malaysia Utamakan Keluarga (1Malaysia Family First- 1MFF) sempena sambutan Hari Bapa peringkat kebangsaan 2012 bertemakan Bapa Prihatin, Keluarga Terpimpin.

Gerakan 1MFF yang dikelola Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), bertujuan meletakkan perspektif keluarga dalam segala perancangan serta pembangunan sosioekonomi negara.

Muhyiddin turut menyempurnakan pemberian baucar saringan kesihatan LPPKN bernilai RM266,000 termasuk golongan bapa tunggal selain bantuan Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karisma) kepada 10 penerima dan sembilan lagi untuk bantuan program 1Azam. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment