My Add

Friday 15 June 2012

Hanya kerajaan berpengalaman mampu jamin masa depan

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 14 Jun, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata hanya kerajaan yang berpengalaman serta banyak menabur bakti dan jasa kepada negara mampu memberi masa depan yang lebih baik kepada rakyatnya. 

Muhyiddin yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan, berkata sebagai kerajaan yang mempunyai perancangan jelas dan hala tuju, pelbagai inisiatif di bawah program transformasi sudah dilaksanakan BN bagi memastikan masa depan rakyat terjamin.

"Kita beri jaminan, selagi BN mendapat sokongan rakyat, usaha-usaha seperti mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan jumlah pendapatan rakyat akan diteruskan. Inilah jaminan kita, beri sokongan padu pada pilihan raya nanti.

"Kerjasama antara rakyat dan kerajaan adalah paksi untuk menjamin masa depan yang lebih baik," katanya pada majlis sepetang bersama rakyat di PPR Kampung Muhibbah, Jalan Puchong-Kuala Lumpur, di sini. 

Program itu adalah sempena lawatan kerja sehari beliau ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini. 

Muhyiddin berkata, gelombang baru juga telah wujud berikutan keupayaan BN untuk melaksanakan perubahan yang lebih baik. 

Katanya, ini dapat dilihat apabila ribuan penduduk PPR Kampung Muhibbah menyambut kedatangan pemimpin BN ke kawasan itu berbanding hanya ratusan sahaja yang hadir apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mengunjunginya. 
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata rakyat harus bijak dalam membuat penilaian dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang ditimbulkan pembangkang. 

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM1.6 juta untuk pembinaan surau dan dewan serbaguna bagi kemudahan penduduk di kawasan itu. 

Lebih 10,000 orang daripada pelbagai kaum mendiami PPR Kampung Muhibbah sejak 2003. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment