My Add

Tuesday 19 June 2012

Hargai jasa Murad rungkai tanda tanya - Ummi Hafilda

KUALA LUMPUR, ISNIN, 18 Jun, 2012: Ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali yakin pengakuan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid berhubung akuan berkanun 20 akaun induk yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah atas dasar pengorbanannya untuk negara, agama dan bangsa.

Beliau berkata, tindakan Abdul Murad itu pastinya akan lebih memudahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut.

"Bagi saya, bukan mudah untuk Abdul Murad yang pernah memegang jawatan penting satu ketika dahulu bertindak membuka pekung di dada, apatah lagi perkara ini melibatkan etika kerjayanya.

"Kita tidak boleh terus menyalahkan beliau, ia tidak adil kerana mengenali Anwar, kemungkinan sewaktu itu, Abdul Murad menerima pelbagai ancaman berbanding hari ini beliau lebih selesa menceritakan perkara sebenar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Murad hari ini mengesahkan beliau ada membuat akuan berkanun pada 1999 berhubung pengendalian akaun-akaun berjumlah RM3 bilion yang dipercayai melibatkan Anwar yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri selain bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Ummi Hafilda pula kelmarin, menyerahkan bukti baru berkaitan pemilikan 20 akaun itu serta bukti berkenaan kekayaan luar biasa Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali kepada SPRM.

Menurut Ummi Hafilda, rakyat Malaysia sepatutnya menghargai jasa Abdul Murad itu apabila beliau dilihat benar-benar bersedia merungkai satu tanda tanya yang sepatutnya diketahui oleh rakyat selama ini.

Katanya, bagi rakyat yang mungkin masih tertanya-tanya kebenaran berhubung perkara itu perlu memberi lebih perhatian kerana apa yang dilakukan Abdul Murad merupakan satu pengorbanan besar.

"Saya percaya dalam usianya sekarang, Abdul Murad lebih matang dan bertanggungjawab menceritakan kebenaran. Mungkin dahulu, beliau muda dan mudah terpengaruh tetapi hari ini beliau telah sedar siapa yang perlu diutamakan iaitu rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment