My Add

Friday, 15 June 2012

Ibadah haji tetap diteruskan: Jamil Khir

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 14 Jun, 2012: Lembaga Tabung Haji akan tetap menguruskan ibadah haji sama ada pilihan raya diadakan atau pun tidak dalam masa terdekat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini. 

Beliau berkata, setakat ini tarikh Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) masih belum diketahui, oleh itu urusan berkenaan ibadah haji pada tahun ini akan diteruskan seperti biasa.

"Bagi pihak Tabung Haji, ada atau tidak PRU13, haji akan berterusan tiap-tiap tahun dan bukan dibatalkan dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di sini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di media baru-baru ini, meminta semua ahli PAS yang terbabit secara langsung dalam pilihan raya untuk menangguhkan ibadat haji. 

Menurut Tuan Ibrahim ini untuk menentukan mereka tidak ketinggalan PRU 13. 

Sementara itu, Jamil berkata MAIWP memperuntukan RM10.8 juta kepada semua anak golongan Asnaf bagi tahun 2012 untuk membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan bantuan berbentuk peralatan persekolahan turut disediakan. 

Pada majlis itu seramai 494 pelajar yang telah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, UPSRA, PMR, SMA, SPM, STPM dan STAM tahun lalu menerima anugerah sebanyak RM134 ribu yang diperuntukkan MAIWP. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment