My Add

Monday 18 June 2012

Impian Najib untuk Malaysia

*NAJIB diiringi Musa Aman dan anak Sedomon Gunsanad, Ricky Sedomon (kiri) melambai tangan kepada orang ramai ketika melawat ke rumah keluarga Sedomon di Bingkor, Keningau, Sabah, semalam.

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN dan HISHAMUDDIN AYUB
KENINGAU, ahad, 17 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau mempunyai empat impian utama untuk negara ini yang berasaskan kepada semangat 1Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, impian pertamanya adalah menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, selamat dan harmoni bagi membolehkan segala program dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

Impian kedua pula, kata beliau, adalah melakukan transformasi bandar dan luar bandar agar rakyat Malaysia mendapat pendapatan tinggi dan negara dapat dimartabatkan sebagai negara maju.

"Yang ketiga ialah bagaimana saya dan rakan-rakan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) Pusat dan negeri dapat mewujudkan peluang- peluang yang lebih supaya di bawah langit 1Malaysia semua rakyat mendapat peluang sebaik-baiknya untuk mencapai potensi maksimum sebagai seorang individu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap program Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Pecah Tanah Kolej Kadazandusun Murut (KDM) di Pisompuru Square, Tambunan, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said.

Jelas Najib, impian terakhirnya ialah untuk mewujudkan Malaysia yang lebih baik dan kuat bagi memastikan masa depan generasi muda dan akan datang terjamin.

Katanya, beliau akan berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan setiap impian tersebut menjadi realiti.

"Dengan izin Tuhan, kita sudah pun nampak hasilnya dalam tempoh tiga tahun ini yang mana banyak pembaharuan telah kita lakukan tetapi tidak perlulah saya huraikan satu persatu kerana orang kampung pun sudah boleh menilai apa yang kita lakukan selama ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment