My Add

Tuesday 19 June 2012

Insentif kecuali cukai kepada Lynas bakal tarik pelaburan asing

KUALA LUMPUR, SRLASA, 19 Jun, 2012: Insentif pengecualian cukai kepada Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) diberi berdasarkan faktor projek itu adalah industri strategik, mampu membentuk ekosistem bagi industri hiliran berteknologi tinggi dan hijau, serta sebagai limpahan kepada industri sokongan tempatan dan industri sedia wujud. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata insentif pengecualian cukai merupakan satu daripada mekanisme bagi menarik pelaburan ke negara ini seperti yang termaktub di bawah Akta Penggalakkan Pelaburan 1986.

"Projek Lynas dikategorikan sebagai projek strategik dan berpotensi menarik pelaburan baru, terutamanya dalam sektor hiliran berteknologi tinggi, serta industri menjimatkan tenaga dan mesra alam."

"Antara syarikat yang telah menunjukkan minat adalah syarikat Siemens dari Jerman," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Dalam menghadapi persaingan dari negara-negara yang menawarkan pelbagai insentif yang menarik, katanya kerajaan boleh mempertimbangkan terutamanya kepada projek-projek strategik dan berimpak tinggi sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 127 Akta Cukai Pendapatan 1967. 

"Lynas dijangka menyumbang kepada ekonomi negara, antara lain peningkatan pendapatan pertukaran mata wang asing dengan kemasukan modal asing sebanyak RM2.5 bilion, selain penjanaan aktiviti ekonomi perkhidmatan sebanyak RM65.8 juta setahun dan penggunaan utiliti seperti elektrik dan air berjumlah RM52.8 juta setahun." 

"Lynas, yang akan turut mewujudkan peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung kepada penduduk tempatan, turut menjadi limpahan kepada industri sokongan huluan tempatan seperti kilang baru asid sulfurik di Gebeng dengan pelaburan RM200 juta," katanya. 

Mustapa berkata projek Lynas juga berpotensi menarik pelaburan baru, terutamanya dalam sektor hiliran berteknologi tinggi dan hijau, yang akan menggunakan keluaran Lynas sebagai bahan mentah (input) seperti pembuatan produk telefon bimbit, pemacu cakera, "catalytic converter," turbin angin, bateri kereta hibrid dan paparan skrin rata. 

"Pemberian insentif adalah amalan biasa kebanyakan negara untuk menarik pelaburan." 

"Di Malaysia ia adalah satu daripada mekanisme dan usaha kerajaan untuk menarik pelaburan terutamanya pelaburan berkualiti tinggi dan strategik," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment