My Add

Thursday 21 June 2012

Jabatan Kesihatan rampas produk kesihatan tidak berdaftar

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Jun, 2012: Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur malam tadi merampas pelbagai produk kesihatan dan kosmetik tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan yang dianggarkan bernilai RM200,000.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Cawangan Farmasi jabatan itu, Norita Noraini berkata, rampasan produk kesihatan termasuk jamu, ubat kuat dan antibiotik itu dilakukan di 14 premis sekitar Jalan Raja Bot di sini, yang diserbu 70 pegawai dan anggota cawangan berkenaan, bermula pukul 8 malam.

"Daripada 14 premis itu, tiga daripadanya mempunyai setor penyimpanan produk-produk yang dipercayai mengandungi racun berjadual yang boleh memudaratkan pengguna.

"Sebuah daripada setor itu dibina di bawah tanah bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata, premis yang mempunyai setor bawah tanah itu dipercayai menjadi pembekal ubat-ubatan di sekitar kawasan Chow Kit.

Norita berkata, produk yang dirampas itu akan dihantar ke pihak berkuasa kawalan dadah Kementerian Kesihatan untuk siasatan manakala produk yang dipercayai mengandungi bahan beracun akan diserahkan kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Jelas beliau, penjualan produk tidak berdaftar dan mengandungi racun berjadual adalah dilarang mengikut Peraturan 71A, Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Seksyen 13A Akta Racun 1952. - BERNAMA



No comments:

Post a Comment