My Add

Wednesday 20 June 2012

Jaga kedaulatan dan keamanan negara

ALOR SETAR, SELASA, 19 Jun, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan rakyat supaya terus mempertahankan nikmat kedaulatan dan kemakmuran daripada pihak yang cuba merosakkannya dengan membawa ideologi tidak secocok dengan budaya masyarakat negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat bertanggungjawab bersama-sama kerajaan membina negara yang maju dan terpelihara keamanan dan kemakmuran yang dikecapi sejak 55 tahun lalu.

"Apabila sesebuah negara berada dalam situasi aman, tidak diganggu gugat hatta negara asing menghormati kedaulatan kita, maka kerajaan berupaya memberi sepenuh tumpuan terhadap usaha mensejahterakan rakyat, memakmurkan negara, memajukan ekonomi dan membangunkan kehidupan yang lebih tersusun bagi memastikan masa depan lebih terjamin," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Sepetang Timbalan Perdana Menteri Bersama Pesara Tentera, Polis dan Penjara, Warga Tentera, Polis dan Penjara di Kolej Tentera Udara, Kepala Batas di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, beliau mengumumkan sumbangan kerajaan sebanyak RM100,000 masing-masing kepada Persatuan Bekas Tentera Malaysia Kedah, Persatuan Bekas Polis Malaysia Kedah dan Persatuan Bekas Penjara Kedah.

Muhyiddin turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 masing-masing kepada Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kedah dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) Kedah bagi menghargai serta mengiktiraf pengorbanan mereka menjaga keluarga.

Menurut Muhyiddin, rakyat perlu bersyukur kerana boleh mengecapi kesejahteraan dan pelbagai kemudahan lain berbanding di sesetengah negara yang kini berhadapan dengan kemelut ekonomi berlarutan.

Katanya, nikmat yang dikecapi pada masa ini tidak datang bergolek tetapi wujud dengan kesungguhan dan keupayaan kepimpinan kerajaan Persekutuan untuk mengurus tadbir negara dengan begitu baik meskipun diakui masih terdapat kelemahan yang perlu diatasi.

Beliau berkata, selepas hampir 55 tahun merdeka dan ketika negara sedang pesat membangun, tempoh lapan tahun akan datang dilihat mencabar kerana Malaysia bakal memasuki ambang sebuah negara maju.

Persoalannya kata beliau, bagaimana untuk sampai ke tahap itu dan pada masa sama segala janji termasuk memastikan rakyat hidup lebih baik direalisasikan kerana Malaysia mahu menjadi negara maju dalam erti kata sebenar.

"Dalam soal ini, hubungan antara masyarakat dengan kerajaan mesti akrab, rapat dan teguh.

"Maka, kita harus berganding bahu, bekerjasama, mempunyai aspirasi politik yang sama dan mendokong perjuangan kerajaan yang sama iaitu kerajaan Barisan Nasional," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment