My Add

Wednesday 6 June 2012

Jangan sokong pemimpin retorik

SEMPORNA, SELASA, 05 Jun, 2012: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal meminta rakyat menilai kepimpinan negara berdasarkan keupayaan mengotakan janji dan bukan melihat semangat mereka ketika berceramah serta pada retorik semata-mata.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, penilaian terhadap pimpinan kerajaan seperti itu wajar memandangkan jika dapat mengotakan janji adalah jelas lebih baik dan memberi impak nyata kepada rakyat.

Justeru, perlu dilihat apa yang dapat dinikmati rakyat sama ada dari segi fizikal, sosial dan ekonomi, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Simunul dan Kampung Air dekat sini.

Saya tekankan bahawa dalam kita menilai dan memilih mana satu kepimpinan atau parti yang perlu disokong, janganlah hanya berlandaskan janji dan ucapan mereka sahaja.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun baru tiga tahun menerajui kerajaan namun telah mencetuskan banyak idea untuk membela rakyat dan memajukan negara kita. Semua itu harus menjadi perhitungan. Bukan hanya membangkitkan semangat, mendengar janji dan tohmahan serta fitnah. Memang sedap mengkritik individu atau seseorang, tetapi untuk melaksanakan sesuatu bukan satu kerja mudah," katanya.

Sebagai contoh, katanya, untuk membina jalan luar bandar di seluruh negara demi keselesaan rakyat dari Perlis hingga ke Sabah bukan tugas yang mudah tetapi atas keazaman membela rakyat dan seperti dijanjikan, kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui kementeriannya sudah menyiapkan kira-kira 2,300 kilometer jalan luar bandar.

Sementara itu, semasa merasmikan Majlis Pembangunan Pertanian bagi Parlimen Semporna di sini, Shafie mengumumkan RM1.4 juta telah disalurkan kepada nelayan di Semporna bagi membaik pulih rumah yang daif melalui program Projek Perumahan Nelayan.

Shafie berkata, ia merupakan sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM100 juta bagi membangunkan perkampungan nelayan termasuk membaik pulih rumah-rumah nelayan seperti yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2012 pada akhir tahun lalu.

Hari ini, katanya, seramai 120 nelayan di daerah itu menerima peruntukan sama iaitu masing-masing RM12,000 bagi memastikan mereka menikmati kehidupan yang lebih selesa.

"Melalui Program Ihsan Samudera yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, masyarakat nelayan terutama di sini telah diberi pelbagai bantuan seperti bot, enjin, pukat dan bantuan baik pulih rumah mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment