My Add

Thursday 21 June 2012

Jawatankuasa Khas Perundangan Parlimen tak perlu diwujud

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 21 Jun, 201: Jawatankuasa Khas Perundangan Parlimen tidak perlu diwujudkan kerana ia akan menghalang Ahli Parlimen untuk membahaskan sesuatu rang undang-undang yang dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ini kerana setiap rang undang-undang sudah diputuskan di peringkat jawatankuasa berkenaan tanpa perlu melalui perbahasan oleh Ahli Parlimen.

"Kalau kita ada jawatankuasa yang akan mengkaji rang undang-undang maka tak perlu ada perbahasan di peringkat majlis kerana di peringkat jawatankuasa sudah selesai, apa makna kita hendak bincang dalam majlis kerana ia sudah diputuskan.

"Ahli Parlimen akan dihalang daripada membahas, lebih baik sistem yang ada sekarang di mana rang undang-undang akan melalui majlis, kemudian ia memberi peluang kepada semua di sini untuk dibahas dan tidak dihadkan kepada anggota jawatankuasa sahaja," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabantangan) mengenai cadangan mewujudkan jawatankuasa itu untuk setiap kementerian bagi membantu melancarkan pentadbiran kementerian terbabit pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Menjawab soalan asal Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) mengenai kesediaan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Perundangan Parlimen bagi meneliti dan mendraf semua rang undang-undang sebelum ia dibentangkan di Parlimen, Mohamed Nazri berkata sekiranya wujud keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa itu, kerajaan sentiasa bersedia dan bersikap terbuka. 

"Sekarang ini tugas dan tanggungjawab untuk meneliti dan mendraf sesuatu rang undang-undang sebelum ia dibawa dan dibentang di Parlimen dilaksanakan oleh Jabatan Peguam Negara iaitu bahagian penggubalan.

"Namun begitu, sebelum sebarang keputusan berkenaan kewajaran penubuhan jawatankuasa yang sedemikian dapat dibuat, satu kajian menyeluruh perlu dijalankan untuk melihat dan memastikan sama ada terdapat sebarang keperluan atau tidak, bagi sesuatu jawatankuasa sedemikian diwujudkan," katanya. 

Mengenai cadangan mewujudkan Jabatan Perundangan di Parlimen, Mohamed Nazri berkata, selain beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang, Parlimen juga ada penasihat undang-undang yang diberikan oleh pihak Jabatan Peguam Negara untuk memberi nasihat tentang isu-isu perundangan. 

"Namun dari segi jabatan untuk mendraf undang-undang, saya kira ia perlu dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara, kerana mudah diberi arahan dan memberi nasihat sama ada undang-undang yang hendak dilaksanakan itu bertentangan dengan perlembagaan atau tidak," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment