My Add

Tuesday 19 June 2012

Jawatankuasa pemantau projek Lynas dicadang dibentuk

KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Jun, 2012: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) mengesyorkan satu Jawatankuasa Pemantauan dibentuk secara khusus bagi memantau secara berterusan operasi Projek LAMP di Gebeng, Pahang.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata jawatankuasa itu juga mencadangkan kesemua 31 syor yang dikemukakan jawatankuasa pilihan khas itu dilaksana dengan sewajarnya.

"Jawatankuasa pemantauan ini hendaklah dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan serta penglibatan badan-badan bukan kerajaan dan pakar bertauliah," katanya semasa membentangkan usul laporan jawatankuasa itu pada persidangan Dewan Rakyat untuk dibahas hari ini.

Laporan setebal 74 muka surat untuk penambahbaikan LAMP itu antara lain merumuskan Projek LAMP merupakan kilang pemprosesan kimia yang menghasilkan nadir bumi dan bukannya loji nuklear ataupun suatu aktiviti perlombongan.

Mohamed Khaled berkata jawatankuasa itu berpandangan operasi Projek LAMP akan menggunakan teknologi termaju dan mempunyai kepakaran berwibawa untuk mematuhi standard dan kawal selia di Malaysia serta peruntukan perundangan ke atas projek ini adalah lebih ketat berbanding amalan antarabangsa.

Beliau berkata semua persoalan yang dikemukakan telah dirujuk kepada kumpulan pakar untuk mendapatkan penjelasan saintifik dan kesemua syor yang dikemukakan dipersetujui sebulat suara oleh semua anggota jawatankuasa itu.

Pada 20 Mac lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul untuk menubuhkan jawatankuasa itu bagi meneliti isu-isu yang menjadi perhatian pihak awam serta standard keselamatan projek Lynas di Gebeng, Pahang.

Anggota jawatankuasa itu terdiri daripada Datuk Rahman Dahlan (Anggota Parlimen Kota Belud); Hajah Nancy Shukri (Batang Sadong); Teng Boon Soon (Tebrau); Liang Teck Meng (Simpang Renggam) dan Datuk Zulkifli Nordin (Kulim Bandar Baharu).

Terma rujuan jawatankuasa ini adalah untuk meneliti isu-isu keselamatan, kesihatan dan alam sekitar berhubung projek LAMP dan meneliti proses dan pelaksanaan prosedur perlesenan serta kelulusan berdasarkan peruntukan undang-undang dan standard keselamatan.

Projek memproses nadir bumi itu mencetuskan kontroversi apabila orang awam mendesak kerajaan supaya menghentikan projek tersebut kerana dikhuatiri membawa kemudaratan kepada keselamatan penduduk setempat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment