My Add

Monday 18 June 2012

Jurutol anggap kejadian samun, tembak menimpanya takdir

KUALA LUMPUR, ISNIN, 18 Jun, 2012: Mohd Haffiz Zamri, seorang daripada dua jurutol yang disamun dan ditembak berhampiran Plaza Tol Seremban pada Khamis lalu, memilih untuk tidak membicarakan keadaan dirinya yang kini terpaksa menerima hakikat kehilangan kaki kanannya akibat insiden itu. 

Walaupun keadaannya dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan untuk memotong kaki kanannya Jumaat lepas, Mohd Haffiz, 26, kelihatan sugul semasa ditemui pemberita di wad Unit Pesakit Luar Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Saya redha dan anggap ini takdir saya," katanya. Di sisi menemani dan memberi sokongan moral kepada beliau di wad tersebut ialah anggota keluarga dan tunangnya Norfaizan Kasim, 27.

Bapanya Zamri Sutin, 53, berkata Mohd Haffiz masih trauma dengan kejadian yang menimpanya itu. 

"Alhamdulillah keadaan Haffiz semakin baik walaupun dia masih trauma bila teringatkan kejadian tembakan itu," kata beliau bahawa anaknya itu dipindahkan ke HKL dari Hospital Seremban pada awal pagi Jumaat lepas untuk menjalani pembedahan memotong kaki kanannya yang terkena tembakan. 

Pada Khamis lepas, Mohd Haffiz dan rakannya Nurijah Rosli, 24, yang kedua-duanya jurutol Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), cedera selepas ditembak sebelum disamun RM2,000 oleh sekumpulan perompak, ketika dalam perjalanan menghantar wang kutipan tol ke pejabat syarikat itu di Plaza Tol Seremban.

Tunang mangsa Norfaizan berkata beliau bercadang menunda perkahwinan yang sepatutnya berlangsung hujung tahun ini, kepada tahun hadapan bagi memberi peluang kepada Mohd Haffiz untuk pulih sepenuhnya. 

"Saya akan sentiasa menemani dan memberi sokongan agar Haffiz dapat menerima keadaannya dan saya berdoa agar Haffiz tabah menerima dugaan ini," katanya. 

Sementara itu, Penolong Pengarah Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Zuhairi Selamat turut menyampaikan sumbangan kepada Mohd Haffiz, yang diwakili bapanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment