My Add

Thursday 7 June 2012

Kempen politik di TV, radio

Semua parti bertanding PRU-13 berpeluang jelaskan manifesto masing-masing

Oleh Mohd Nasaruddin Parzi
KUALA LUMPUR, RABU, 06 Jun, 2012: Semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan diberi peluang sama rata menjelaskan manifesto masing-masing menerusi semua badan penyiaran tempatan, khususnya stesen televisyen.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, bagaimanapun berkata pihak berkuasa berkaitan akan menentukan syarat dan had tempoh masa yang sesuai kepada parti politik berbuat demikian.

Perkara itu diputuskan selepas kertas Kabinet berhubung permintaan mendapatkan akses media sama rata membentangkan manifesto, diluluskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pagi semalam.

Katanya, apabila Dewan Rakyat dibubarkan atau pada tempoh berkempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parti politik dibenarkan menjelaskan manifesto masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan badan penyiaran lain.

“Peranan badan penyiar swasta pula akan ditentukan oleh kerajaan selepas ini mengikut hak serta lunas undang-undang sedia ada,” katanya ketika merasmikan Wisma Berita RTM dan Pelancaran Portal Berita serta Arkib Digital, di Angkasapuri, di sini semalam.

Hadir sama Timbalannya, Datuk Joseph Salang dan Datuk Maglin Dennis D’cruz; bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin; Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail serta Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Johan Jaafar. 

Dalam pada itu, Rais berkata, untuk memberi kebenaran menyampaikan maklumat, RTM perlu mengikut selera parti politik kerana ia turut diamalkan di negara Komanwel dan negara maju lain yang menetapkan syarat tertentu yang perlu dipatuhi.

“Misalnya di England, BBC memberi 10 hingga 15 minit untuk menyiarkan manifesto parti politik ketika pilihan raya dengan beberapa syarat yang mereka kenakan. Begitu juga di Singapura dan Thailand. Malah, yang terbaru Myanmar turut memberikan peluang dengan syarat tertentu dalam bentuk amalan yang boleh diterima pelbagai pihak.

“Tentu sekali keputusan ini (memberi akses sama rata) menyebabkan banyak persoalan dan pandangan akan diberi pelbagai pihak, namun kerajaan menerimanya secara terbuka,” katanya.

Rais juga berkata, pembinaan bangunan Wisma Berita RTM mencipta satu sejarah dan mercu kejayaan dalam bidang penyiaran negara.

“Walaupun rumah baru dan alat baru (Wisma Berita RTM) sudah terbina, yang penting adalah profesionalisme harus diutamakan terutama dalam membuat, mengolah dan menyebarkan berita.

“Oleh itu, kita akan melihat sejarah baru ini bagaimana profesionalisme dapat diterjemah dalam pemberitaan, disamping hak untuk mendapatkan liputan yang adil,” katanya. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment