My Add

Tuesday 19 June 2012

Kerajaan bina jambatan terpanjang di Sarawak bernilai RM230 juta

SADONG JAYA, ISNIN, 18 Jun, 2012: Kerajaan memperuntukkan hampir RM230 juta untuk menjayakan projek pembinaan jambatan terpanjang di Sarawak iaitu menghubungkan Asajaya dan Simunjan di Kota Samarahan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, pembinaan projek jambatan sepanjang 1.48 kilometer itu akan bermula bulan ini dan dijangka siap pada Julai 2016.

"Tujuan utama kerajaan membina jambatan ini kerana ia berupaya mengurangkan hampir satu jam masa perjalanan pengguna selain mengatasi masalah kesesakan penumpang feri.

"Jambatan ini kelak akan turut dapat meningkatkan produktiviti penduduk kampung apabila mereka boleh mengangkut hasil pertanian dengan lebih cepat," katanya selepas melawat tapak projek pembinaan jambatan di Batang Sadong, Kampung Buloh di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Ir. Aidel Lariwoo.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan projek tersebut selepas mengadakan lawatan ke Asajaya pada April tahun lalu.

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan pembinaan sebuah jambatan merentasi Sungai Pandaruan yang menyempadani Sarawak di Malaysia dan daerah Temburong di Brunei yang menelan kos sebanyak RM15 juta dan dijangka siap menjelang Ogos tahun hadapan.

Sementara itu, salah seorang penduduk kampung, Jamil Harbi, 40, ketika ditemui berkata, dia gembira dengan langkah kerajaan membina jambatan tersebut setelah sekian lama menanti.

"Majoriti penduduk kampung ini bekerja sebagai nelayan dan petani, kami menjual hasil tangkapan serta pertanian ke kawasan seberang,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment