My Add

Wednesday 20 June 2012

Kerajaan fokus rangka dasar bantu usahawan - Muhyiddin

SUNGAI PETANI, SELASA, 19 Jun, 2012: Kerajaan sentiasa komited merangka pelbagai dasar yang bersesuaian bagi melahirkan usahawan dan peniaga kecil yang berjaya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, perkara tersebut dapat dilihat menerusi pelbagai langkah yang diambil termasuk pemberian insentif, pemudah cara perniagaan dan pembiayaan.

"Kita bukan buat secara semberono atau cincai, malah bukan untuk setahun dua tetapi mencakupi berpuluh tahun, selain disusun rapi agar memberi manfaat besar," katanya.

Beliau berucap pada majlis Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana Jom Niaga peringkat negeri di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kedah anjuran Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SMECorp) di Merbok, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir; Pengerusi SMECorp, Datuk Ir. Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selain pelbagai program transformasi, kerajaan Barisan Nasional (BN) juga banyak memperkenalkan usaha untuk memastikan ekonomi negara dapat dirancakkan lagi.

"Kerajaan menyokong dan membantu melonjakkan lagi para usahawan mikro, kecil dan sederhana ke peringkat lebih tinggi sejajar dengan matlamat menjadikan negara maju dan rakyat berpendapatan tinggi," katanya.

Sementara itu, beliau gembira dengan keyakinan sektor perniagaan dan para pelabur terhadap ekonomi Malaysia yang kini semakin berkembang baik.

Keadaan itu menurut beliau, boleh dilihat daripada laporan kompetitif global yang dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) apabila Malaysia menurun kepada kedudukan ke-21 daripada 133 negara berbanding kedudukan ke-24 tahun lepas.

Selain itu, katanya, usaha berkesan diambil kerajaan juga membolehkan Malaysia menduduki tangga ke-18 dalam laporan Doing Business World Bank mengatasi Jerman, Perancis dan Jepun. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment