My Add

Wednesday 20 June 2012

Kerajaan pantau kenaikan harga rumah: Lajim

KUALA LUMPUR, RABU, 20 Jun, 2012: Kerajaan terus memantau kenaikan harga rumah dan akan mengenakan langkah tambahan bagi mengawal harga rumah, jika perlu, untuk memastikan semua golongan rakyat mampu memiliki rumah sendiri, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin. 

Beliau berkata, pada masa ini beberapa mekanisme kawalan dilaksanakan seperti pengurangan nisbah pinjaman kepada nilai (LTV) kepada 70 peratus bagi pinjaman perumahan pembelian rumah ketiga dan seterusnya.

Katanya, kerajaan turut memperkenal semula Cukai Keuntungan Harta Tanah mulai 1 Januari 2010 bagi mengurangkan aktiviti spekulasi yang menyebabkan kenaikan harga rumah di negara ini.

"Kerajaan buat masa ini tidak mengawal harga rumah kerana ia ditentukan faktor pasaran dan amalan ekonomi bebas bagi menggalakkan pertumbuhan industri perumahan negara," katanya menjawab soalan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Lajim menegaskan bahawa kerajaan mengambil berat mengenai keperluan perumahan membabitkan golongan berpendapatan rendah dengan mensasarkan pembinaan sebanyak 78,000 unit rumah kos rendah (RKR) seluruh negara. 

"Sasaran pembinaan 78,000 unit RKR itu dibuat di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK ke-10) di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Program Bantuan Rakyat (PBR)," katanya. 

Beliau berkata, kerajaan melancarkan Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang berkonsepkan Kerjasama Awam Swasta bagi memastikan golongan berpendapatan sederhana mampu memiliki rumah sendiri dengan harga berpatutan di antara RM150,000 sehingga RM300,000 mengikut lokasi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment