My Add

Wednesday 20 June 2012

Kes Adam Adli tak wakili UPSI, kata Naib Canselornya

*ADAM Adli ketika menyertai satu perhimpunan di Kuala Lumpur Januari lalu.

HIDAYAH HAIROM 
KUALA LUMPUR - Insiden yang melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim, yang digantung tiga semester, tidak seharusnya dijadikan kayu ukur dalam menilai imej pusat pengajian tinggi itu kerana ia tidak menggambarkan pendiriana dan majoriti pelajarnya.

Bagaimanapun Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa tidak dinafikan imej UPSI sejak kebelakangan ini sedikit tercalar berikutan kontroversi membabitkan Adam Adli.

Sehubungan itu tegas beliau, kes tersebut tidak mewakili UPSI dan para pelajarnya.

"Majoriti pelajar UPSI sangat cintakan keamanan dan pembelajaran. Janganlah disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga.

"UPSI kini sudah berusia 90 tahun dan telah melahirkan ramai pakar dalam pendidikan dan juga tokoh negara yang telah banyak menabur jasa kepada nusa dan bangsa tercinta," kata beliau pada Majlis Makan Malam UPSI Bersama Media, di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Omar Abdul Kareem.

Awal Januari lalu, Adam Adli digantung tiga semester oleh Upsi selepas didapati bersalah menurunkan bendera tertera wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat UMNO.

Keputusan itu berkuat kuasa mulai hari ini.

Adam Adli berhadapan dengan tekanan ekoran tindakannya menurunkan bendera tertera wajah Najib di pekarangan Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur, 17 Oktober lalu. Beliau juga dikaitkan dengan tindakannya terlibat alam demonstrasi di hadapan Upsi awal pagi 1 Januari lalu.

Sementara itu, turut disentuh dalam ucapan Naib Zakaria ialah perkembangan terbaru UPSI yang mana kini mempunya kampus baru yang mampu mempertingkatkan tahap pembelajaran yang lebih sempurna.

Zakaria berkata, kampus yang terletak lapan kilometer dari kampus sedia ada iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Tanjung Malim, akan memberi impak pembangunan kepada kawasan sekitarnya yang bertempat di Proton City.

"Kampus ini baru dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia, Sultan Azlan Shah dan ia terletak berdekatan dengan Pusat Komersial Bandar Proton dan Kilang Proton, lengkap dengan kawasan berlatar belakangkan kehijauan Banjaran Titiwangsa.

"Keindahan sumber alam semula jadi ini akan memberikan satu persekitaran yang sempurna untuk menambah nilai dalam proses pembelajaran pelajar institusi ini," katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment