My Add

Tuesday 5 June 2012

KWSP catat pendapatan pelaburan RM7.74 bilion suku pertama

KUALA LUMPUR, SELASA, 05 Jun, 2012: Pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac, 2012, meningkat RM1.21 bilion atau 18.52 peratus kepada RM7.74 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Azlan Zainol, berkata prestasi pelaburan KWSP dipacu terutamanya oleh keuntungan daripada ekuiti dengan memanfaatkan pasaran ekuiti yang positif melalui aktiviti pengambilan untung pada suku tahun ini.

"Keputusan ini menunjukkan kejayaan pendekatan pelaburan KWSP yang aktif dan berdisiplin yang membolehkan KWSP bertindak terhadap peluang yang diperolehnya," katanya dalam satu kenyataan.

Pendapatan pelaburan daripada ekuiti berjumlah RM3.62 bilion, meningkat daripada RM3.23 bilion pada suku yang sama tahun lalu. 

Pinjaman dan bon menyumbang RM2.49 bilion dalam pendapatan pelaburan berbanding RM1.77 bilion pada tempoh yang sama 2011. 

Salah satu transaksi pelaburan terbesar KWSP sepanjang suku tahun ini termasuklah langganan sukuk global yang diterbitkan oleh PLUS Berhad berikutan penswastaan PLUS Expressways Berhad pada Disember 2011. 

Aset pelaburan meningkat kepada RM488.54 bilion daripada RM450.26 bilion pada suku yang sama tahun lalu.

Jumlah caruman RM12.74 bilion yang diterima semasa suku berkenaan melebihi jumlah amaun pengeluaran sebanyak RM8.42 bilion, menjadikan aliran dana masuk bersih sebanyak RM4.32 bilion. 

Jumlah pelaburan luar negara KWSP ialah 13.96 peratus daripada jumlah kos pelaburan. 

Sepanjang suku berkenaan, tambahan US$1.2 bilion pelaburan dibuat dalam ekuiti dan hartanah global. 

Azlan berkata KWSP merancang untuk meningkatkan pelaburan luar negara dalam janji niaga hartanah dan infrastruktur serta sukuk dan bon konvensional. 

Ia akan mengambil kira peluang yang baik dan pergerakan serta arah pasaran dengan hasrat untuk meningkatkan secara beransur-ansur pendedahan luar negaranya kepada 18 dan 19 peratus daripada jumlah pelaburannya pada akhir tahun. 

Beliau meyakinkan ahli bahawa KWSP berhati-hati dan amat memilih pelaburannya dalam pasaran global dan hanya melabur selepas kajian teliti dibuat. 

Mengulas mengenai prestasi keseluruhan bagi tahun ini, Azlan berkata, “Ketidaktentuan yang melanda ekonomi global, terutama krisis hutang negara di Eropah, akan terus memberikan kesan kepada prestasi pelaburan KWSP". 

KWSP menjangkakan tahun ini adalah tahun yang sukar dan akan tetap berpegang teguh kepada pendekatan strategik peruntukan aset jangka panjang yang memberikan ketahanan dalam menghadapi keadaan pasaran yang mencabar masa kini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment