My Add

Wednesday 20 June 2012

LAMP paparan keyakinan pelabur

KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Jun, 2012: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) berpandangan keputusan Lynas Corporation (Lynas) untuk menempatkan operasi projek itu di Gebeng, Kuantan adalah paparan keyakinan tinggi pelabur asing terhadap pelaburan di negara ini.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia juga paparan keyakinan terhadap daya saing Malaysia dalam pelbagai aspek terutama yang melibatkan industri berteknologi maju.

Beliau berkata, oleh itu projek LAMP harus dianggap sebagai satu cabaran untuk Malaysia memaparkan kewibawaannya sebagai sebuah negara yang mampu mengurus pelaburan yang mempunyai cabaran teknologi serta kepentingan saintifik bernilai tinggi.

"Kejayaan Malaysia mengurus pelaburan teknologi tinggi ini akan menjadikan negara lebih bersedia untuk diiktiraf sebagai negara maju. Namun, jawatankuasa sedar bahawa persoalan yang paling banyak berlegar di fikiran rakyat ialah mengapa Malaysia dipilih menjadi tapak projek LAMP.

"Dapatan jawatankuasa mendapati Lynas mempunyai beberapa pilihan bagi operasi mereka termasuk di Australia, China dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Tetapi Malaysia telah dipilih berdasarkan faktor kos infrastruktur dan utiliti seperti air dan elektrik yang rendah khususnya jika dibandingkan dengan Australia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan penyata PSC mengenai projek LAMP di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Lynas turut memaklumkan selain Australia dan Malaysia, mereka memperoleh kelulusan untuk beroperasi di China namun disebabkan dasar China yang mengenakan syarat kuota eksport, ia menjadi kekangan kepada pertumbuhan syarikat.

"Malaysia mempunyai persekitaran perniagaan dan pelaburan kondusif. Pelabur seperti Lynas mempunyai keyakinan tinggi terhadap sistem perundangan dan kawal selia yang diguna pakai di negara ini selain faktor kestabilan politik, sumber daya kerja kompeten dan prasarana yang maju," jelasnya.

Sementara itu, katanya, bagi memastikan negara mendapat faedah yang akan meningkatkan keupayaan saintifik dan teknologi, jawatankuasa turut mencadangkan langkah-langkah berikut:

l Satu peratus peruntukan dari pendapatan kasar projek LAMP setiap tahun dikhaskan untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) keupayaan saintifik berkaitan teknologi nadir bumi.

l Semua aktiviti R&D keupayaan saintifik berkaitan nadir bumi mesti dikendalikan di Malaysia dengan kerjasama universiti serta pusat penyelidikan saintifik tempatan.

l Peluang penglibatan pengusaha tempatan ditingkatkan bagi menceburi bidang industri hiliran berteknologi tinggi yang menggunakan produk nadir bumi.

l Apabila terdapatnya industri tempatan menggunakan produk projek LAMP sebagai bahan mentah wujud di negara ini, maka langkah sewajarnya seperti memperkenalkan cukai eksport perlu dilaksanakan. Ini dapat memastikan bekalan bahan mentah bagi industri tempatan adalah mencukupi.

Mohamed Khaled berkata, jawatankuasa juga bertanggungjawab menjelaskan beberapa persepsi yang tidak tepat berkenaan manfaat sosio ekonomi LAMP terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

"Jawatankuasa dimaklumkan projek LAMP diberi insentif pengecualian cukai selama 12 tahun oleh kerajaan. Jawatankuasa juga merumuskan bahawa faedah ekonomi pelaburan dalam LAMP adalah peningkatan pendapatan pertukaran mata wang asing melalui pelaburan sebanyak RM2.5 bilion," katanya.

"Faedah lain adalah pemindahan teknologi dengan menyediakan latihan berjumlah RM2.7 juta setahun kepada pekerja tempatan, penjanaan aktiviti ekonomi perkhidmatan yang dianggarkan sebanyak RM65.8 juta setahun selain kewujudan peluang pekerjaan dalam sektor teknologi termaju. Hampir semua pekerja di projek LAMP adalah tenaga mahir tempatan kecuali lima tenaga pakar asing," katanya.

Menurut beliau, projek LAMP juga berpotensi menarik pelaburan baru terutama dalam sektor hiliran berteknologi tinggi yang akan menggunakan hasil projek berkenaan sebagai bahan mentah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment