My Add

Tuesday 5 June 2012

Lelaki dijatuhi hukuman penjara, denda rasuah polis trafik

JOHOR BAHRU, SELASA, 05 Jun, 2012: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada seorang anggota polis, tahun lalu. 

Sim Kim Fat, 42, yang hadir memakai baju lokap berwarna merah turut diperintah menjalani hukuman penjara tiga bulan oleh Hakim Mohd Nasir Nordin sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Dia didakwa memberi rasuah RM2,300 kepada anggota trafik Rahim Lamburakan dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang disyaki memiliki dua paket plastik dadah dipercayai syabu.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di dalam sebuah kereta bernombor pendaftaran JHE7713 semasa dalam perjalanan dari KM118 Lebuhraya Utara Selatan Jalan Pagor-Ayer Hitam menuju ke Balai Polis Yong Peng, 10.55 pagi, 19 Julai tahun lalu. 

Kim Fat didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan. 

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan dia baru saja kematian anaknya dan berjanji tidak ulangi kesalahan yang sama. 

Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Sajori Martubi berkata, tertuduh sedang mejalani hukuman penjara di Penjara Kluang yang akan berakhir 25 Ogos ini atas kesalahan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh memohon hukuman setimpal dijatuhkan terhadap tertuduh kerana rasuah merupakan satu kesalahan yang berat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment