My Add

Tuesday 5 June 2012

Lelaki Myanmar mati ditetak rakan senegara

KUALA LUMPUR, SELASA, 05 Jun, 2012: Seorang lelaki warga Myanmar mati selepas ditetak di kepala dengan pisau pemotong daging oleh rakan senegaranya dalam satu pergaduhan di Taman Puchong Utama, Puchong di sini, awal pagi tadi. 

Jurucakap polis, ketika dihubungi, berkata mangsa yang bekerja di sebuah kilang kaca pada mulanya dipercayai sedang berehat sambil minum minuman keras sebelum didatangi seorang lelaki yang juga rakan sekerja dan tinggal berasingan.

"Kedua-dua warga Myanmar itu dipercayai berada dalam keadaan terlalu mabuk dan dikatakan masing-masing mula berkelahi sehingga mencetuskan pergaduhan tersebut," katanya.

Polis menerima laporan pada 3.30 pagi dan apabila tiba di lokasi menemui Htay Win, berumur lingkungan 30-an, mati dengan kesan kecederaan teruk di bahagian kepala di sebuah rumah teres dua tingkat yang didiami tujuh warga Myanmar lain. 

Jurucakap polis itu berkata, suspek yang berumur lingkungan 20-an masih bebas dan polis giat menjejakinya yang juga bekerja di tempat yang sama dengan mangsa. 

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment