My Add

Sunday 17 June 2012

Lokasi air terjun dipasti bebas penyakit kencing tikus

BESUT, AHAD, 17 Jun, 2012: Kerajaan negeri Terengganu mengambil langkah sewajarnya mengelak jangkitan penyakit berbahaya seperti kencing tikus di lokasi kunjungan pelancong seperti kawasan air terjun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, ini kerana semua lokasi berkenaan akan dilengkapi peralatan penapis air yang mengandungi bahan yang membunuh virus penyakit berkenaan.

Menurutnya, pemasangan alat penapis air itu selaras dengan usaha kerajaan negeri menarik kedatangan pelancong ke Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

“Orang ramai tidak perlu bimbang dan beranggapan negatif terhadap tempat perkelahan air terjun kerana tindakan pencegahan telah diambil pihak kerajaan,” katanya selepas menutup Tebu Mountain Challenge di Pusat Perkelahan Air Terjun Belatan, Jabi, di sini.

Beliau berkata, sempena TMT 2013, kerajaan negeri mensasarkan kira-kira empat juta pelancong termasuk daripada luar negara akan melawat tempat-tempat pelancongan menarik seluruh negeri ini tahun depan.— BERNAMA

1 comment: