My Add

Tuesday 19 June 2012

Lynas disyor kemuka hasil penyelidikan residu

KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Jun, 2012: Lynas Malaysia Sdn Bhd yang menjalankan projek kilang memproses nadir bumi di Gebeng, Pahang dicadang mengemukakan hasil penyelidikan berhubung residu yang dihasilkan kilang itu dalam tempoh 10 bulan selepas lesen pengendalian sementara (TOL) dikeluarkan. 

Syor yang dibuat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) itu mencakupi pengkitaran semula, pengurangan sisa, penggunaan dan pengkomersialan residu tersebut.

Ia adalah antara 31 syor yang dikemukakan dalam laporan jawatankuasa itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Bagi memastikan supaya debu tidak berterbangan ke udara atau berlaku kebocoran dalam tanah, jawatankuasa itu mengesyorkan agar Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mengenakan syarat wajar kepada LAMP untuk mengambil langkah tambahan yang menjamin perlindungan menyeluruh pada tapak penstoran residu (RSF). 

Jawatankuasa itu turut mengesyorkan agar pemantauan berterusan aras sinaran dijalankan oleh AELB dan Lynas secara berkala di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) dan peraturan-peraturan di bawahnya. 

Kajian "baseline" kesihatan yang diterajui Kementerian Kesihatan turut dicadangkan agar dimulakan segera, meliputi aspek utama seperti bilangan kes leukemia, kanser dan asma. 

Selain aspek kesihatan, jawatankuasa itu juga mengambil maklum faedah ekonomi yang bakal diperoleh daripada projek itu dan mengesyorkan pembabitan pengusaha tempatan dalam industri hiliran berteknologi tinggi yang menggunakan produk nadir bumi. 

Menurut laporan itu, penggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di pusat pengajian tinggi tempatan berkaitan dengan teknologi nadir bumi dan pengurusan residu berkaitan turut dicadangkan jawatankuasa berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment