My Add

Monday 25 June 2012

Mahkamah bergerak berjaya selesai 95 peratus kes

SIPITANG, ISNIN, 25 Jun, 2012: Konsep Mahkamah Bergerak yang diperkenalkan di Sabah dan Sarawak berjaya menyelesaikan 95 peratus dari 200 kes pendaftaran lewat kelahiran yang membabitkan kawasan perkampungan terpencil di daerah ini terutama Kampung Long Pasia sejak ia beroperasi di daerah itu pada 2007.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tiga Kota Kinabalu, Amir Shah Amir Hassan, berkata hampir 200 kes dilaporkan menerusi program Mahkamah Bergerak yang beroperasi di beberapa kawasan luar bandar dan pedalaman iaitu di Paitan, Sandakan; Sook, Pensiangan; Pegalungan, Nabawan dan Long Pasia, Sipitang.

Amir Shah berkata, operasi yang dijalankan tidak terhad kepada sokongan sijil kelahiran, sebaliknya tertumpu juga kepada kuasa untuk mendengar kes sebutan jenayah, pendaftaran kes sivil dan perkhidmatan pesuruhjaya sumpah.

"Kita sebenarnya membawa fungsi mahkamah di luar daripada pejabat kebiasaannya bagi memudahkan penduduk di luar bandar seperti di Kampung Long Pasia yang jauh dari kemudahan dan aksesibiliti kepada peranan mahkamah.

"Dari segi inisiatif berdasarkan rekod dan cara mengenal pasti pendaftaran kes mahkamah dan sekiranya ada permintaan dari ketua kampung atau wakil masyarakat, kita boleh datang kenal pasti kes-kes tertentu di luar bandar," katanya pada program Mahkamah Bergerak selama dua hari berakhir semalam di Kampung Long Pasia, kira-kira 123 kilometer dari pekan Sipitang.

Kampung Long Pasia dengan jumlah penduduk kira-kira 500 orang dari suku kaum Lundayeh itu terletak di persempadanan tiga segi antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan Timur, Indonesia dan mengambil masa kira-kira empat hingga lima jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan balak dari pekan Sipitang.

Beliau berkata, menerusi Mahkamah Bergerak, pihaknya akan mengendalikan sesuatu kes itu tanpa menjejaskan fungsi sebenar mahkamah dengan 'memperluas perkhidmatan' di dalam bangunan mahkamah untuk kemudahan kepada penduduk di luar bandar.

Amir Shah turut berharap sokongan masyarakat terutama di luar bandar dalam mengadakan operasi ini di bawah konsep tranformasi kerajaan bagi memudahkan aksesibiliti kepada peranan mahkamah.

Mengenai kes di Long Pasia, beliau berkata, program yang dihadiri kira-kira 200 penduduk itu diadakan bagi membantu mereka yang memerlukan perkhidmatan berkaitan dokumen pengenalan diri seperti sijil lahir dan kad pengenalan.

"Sambutan penduduk amat memberangsangkan dengan sejumlah 25 kes dilaporkan dan dapat menyelesaikan separuh kes. Operasi tertumpu kepada mendengar kes daftar lewat sijil kelahiran bagi tujuan sokongan di bawah Seksyen 22 Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian negeri Sabah," katanya.

Sementara itu, Majistret Mahkamah Majistret Sipitang Dana Arabi Wazani berkata, operasi di Long Pasia adalah kali keempat bermula 2009 dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara dan kebanyakan kes berlainan dilaporkan termasuk permohonan baru kad pengenalan.

"Selain menjalankan tangungjawab sosial membantu masyarakat, tujuan kami mengadakan operasi di Long Pasia adalah bagi membantu orang kampung mengurangkan kos perjalanan terutama dari segi perjalanan yang difahamkan berjumlah RM80 pergi balik (ke pekan Sipitang) dengan keadaan jalan yang teruk dan apabila hujan, jalan akan terputus," katanya.

Merujuk kepada kes-kes lain seperti pemilikan geran tanah, beliau berkata, pihaknya akan memberi nasihat mengikut prosedur yang betul seperti keperluan dokumen bagi sesuatu kes tertentu.

Dalam pada itu, Ana berkata, pihaknya bercadang untuk meneruskan operasi seumpama itu di beberapa daerah lain di Sabah seperti Pulau Banggi, Kudat, Tenom, Keningau dan Sandakan.

Idea Mahkamah Bergerak itu diilhamkan oleh Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang memegang jawatan itu pada 2006 bagi membantu menyelesaikan masalah kes tertunggak dan pengesahan dokumen di kawasan luar bandar dan pedalaman. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment