My Add

Saturday 16 June 2012

Majlis Peguam tidak berhak bantah

Oleh HUSSAINI AMRAN
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 15 Jun, 2012: Majlis Peguam tidak berhak membantah penubuhan Akademi Undang-Undang kerana hak untuk berpersatuan dijamin dalam Perlembagaan negara.

Ahli Majlis Peguam, Abu Backer Sidek berkata, kerajaan tidak perlu merujuk atau meminta persetujuan badan tersebut bagi mewujudkan Akademi Undang-Undang.

Jelasnya, Majlis Peguam boleh dianggap mengambil pendirian yang bercanggah dengan prinsip perjuangannya untuk menegakkan hak asasi manusia sekiranya mereka membantah hasrat kerajaan itu.

''Majlis Peguam tidak mempunyai alasan kukuh untuk menghalang penubuhan Akademi Undang-Undang yang bukan sahaja menghimpunkan pengamal undang-undang malah ahli akademik dan bekas hakim di bawah satu badan.

''Secara peribadi, saya amat mengalu-alukan penubuhan akademi tersebut kerana ia boleh menjadi langkah awal untuk memecahkan monopoli Majlis Peguam dalam bidang guaman di negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam yang menegaskan kerajaan akan meneruskan cadangan penubuhan Akademi Undang-Undang tanpa perlu merujuk kepada Majlis Peguam.

Mohamed Nazri turut menyifatkan sebarang cubaan Majlis Peguam untuk menghalang penubuhan akademi itu sebagai menceroboh hak asasi untuk berpersatuan.

Sementara itu, seorang lagi ahli Majlis Peguam, Mohd. Khairul Azam Abdul Azizmemberitahu, cadangan penubuhan Akademi Undang-Undang sepatutnya disambut baik oleh semua pengamal undang-undang di negara ini.

''Saya sendiri amat teruja untuk melihat cadangan tersebut dilaksanakan kerana ia berupaya menyatupadukan semua pihak yang bergiat dalam bidang perundangan," katanya.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan kerajaan membentangkan butiran lanjut tentang akademi berkenaan agar objektif penubuhannya kelihatan lebih jelas kepada semua pihak. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment