My Add

Tuesday 19 June 2012

Malaysia antara negara terbaik untuk pelaburan: TPM

MERBOK, SELASA, 19 Jun, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kedudukan Malaysia di mata dunia sebagai negara terbaik untuk membuat pelaburan bertambah kukuh dan mengatasi banyak negara maju di dunia. 

Katanya, Buku Laporan Daya Saing Dunia 2011 IMD menyatakan Malaysia negara ke-14 paling kompetitif di dunia manakala Laporan Melakukan Perniagaan 2012 Bank Dunia menyatakan Malaysia meningkat lima anak tangga daripada kedudukan ke-23 kepada kedudukan ke-18 dan mengatasi negara maju seperti Jerman, Jepun, Taiwan, Switzerland dan Perancis.

Katanya, Laporan Daya Saing Global 2011 World Economic Forum (WEF) pula meletakkan Malaysia pada tangga ke-21, meningkat lima anak tangga daripada kedudukan ke-26 di kalangan 142 negara di dunia dan pada masa sama berada pada tangga ke-enam di kalangan negara Asia Pasifik dan ke-dua dalam ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia juga berada pada tahap ke-10 negara paling digemari di dunia oleh pelabur asing. 

"Kenyataan laporan berintegriti badan-badan dunia ini bukan suka-suka hendak disebut tetapi perlu bagi menjelaskan mengenai pimpinan negara sentiasa fokus dan tidak sembrono untuk mengangkat Malaysia menjadi negara maju. 

"Syukurlah kerana dasar dan agenda kerajaan Barisan Nasional (BN) selari dengan matlamat mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi pada 2020," katanya semasa merasmikan Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana peringkat negeri Kedah di UiTM Merbok di sini hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarbangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah; dan Pengerusi Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp), Datuk Ir (Dr) Mohamed Al Amin Abdul Majid. 

Muhyiddin berkata, Malaysia berada pada landasan tepat untuk mencapai matlamat itu selain giat menjalankan pelbagai program pembangunan negara serta bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela. 

"Kesungguhan kerajaan BN itu antaranya melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP)," katanya. 

Mengenai pembangunan usahawan, beliau berkata MITI dan agensi di bawahnya melaksanakan pelbagai program antaranya bimbingan dan latihan, bina upaya, peningkatan daya saing dan inovasi, pemasaran dan penjenamaan, bantuan bersepadu, kewangan dan kesedaran halal. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment