My Add

Tuesday 19 June 2012

Malaysia bukan lagi negara kurang jaga harta intelek

KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Jun, 2012: Malaysia terkeluar daripada senarai 158 negara yang kurang penguatkuasaannya terhadap penjagaan hak harta intelek sejak April lalu. 

"Pada 2001, kita tersenarai negara yang paling tinggi dari segi kurang menjaga harta intelek. Pada 2003 pula, kita berada di pertengahan. Namun pada April tahun ini, kita terkeluar terus dari senarai buruk itu," kata Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor Othman Nawang.

Beliau berkata, status itu diperoleh daripada Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) melalui 'Special 301 Report' April lepas.

Laporan USTR itu dikeluarkan setiap tahun merangkumi seluruh dunia yang membuat penilaian terhadap tahap penguatkuasaan harta intelek sesebuah negara dan perlindungan kepada para pelabur, katanya kepada Bernama. 

Laporan '2012 Special 301 Report' itu boleh dilihat di laman web http:/www.ustr.gov. 

Othman berkata, ini menunjukkan kejayaan besar kepada tindakan penguatkuasaan berterusan KPDNKK apabila diiktiraf oleh Amerika Syarikat sebagai negara yang menjaga kepentingan harta intelek barangan, produk dan jenama dari luar negara. 

Katanya, selain penguatkuasaan KPDNKK, maklumat pelbagai pihak termasuk ejen atau pemilik cap dagang sesuatu produk, dilihat sangat membantu pasukan penguatkuasa itu membendung aktiviti penjualan barang tiruan dan cetak rompak. 

"Pemilik cap dagang amat penting untuk menentukan ketulenan sesuatu produk. Mereka ditugaskan menyalurkan maklumat kepada kami (KPDNKK) sekiranya mengesan ada barang tiruan yang dijual di pasaran," katanya. 

Othman berkata, kerjasama orang ramai juga amat membantu badan penguatkuasa itu mematahkan pengedaran dan penjualan barang tiruan dan cetak rompak. 

"Mereka boleh menyalurkan maklumat sama ada apa yang dilihat di depan mata (penjualan) atau mereka juga mempunyai maklumat dalaman yang dapat membantu kami mengekang aktiviti penjualan barangan terbabit," katanya.

Sementara itu, Othman berkata, statistik KPDNKK menunjukkan pada 2001, kadar penjualan cetak rompak membabitkan penjualan CD dan VCD berleluasa sehingga mencapai 88 peratus, namun baru-baru ini ia menunjukkan peratusan itu berkurangan kepada hanya 48 peratus. 

Beliau berkata, dalam membendung penjualannya, orang ramai juga memainkan peranan penting untuk mengubah mentaliti dan persepsi masing-masing terhadap kelambakan penjualan barangan itu. 

"Antara faktor yang menyebabkan kegiatan penjualan ini berleluasa adalah kerana masyarakat sendiri mempunyai kuasa membeli dan kami sebagai pihak penguatkuasa tidak mempunyai hak untuk menyekat mereka membeli barangan tiruan dan cetak rompak ini. 

"Ini semua melibatkan kawalan kendiri dan kesedaran masing-masing. Hargailah karya, idea dan kreativiti mereka yang terlebih dahulu mewujudkan jenama sesebuah produk tersebut," katanya. 

Katanya, pihak KPDNKK hanya boleh melakukan melakukan penguatkuasaan terhadap pengedar atau penjual dengan mengenakan denda yang tinggi kepada mereka mengikut Akta Perihal Dagangan 2011. 

Othman berkata, KPDNKKK merampas apa sahaja barang yang berkaitan dengan perihal dagangan palsu meliputi tekstil, seperti pakaian, barangan kulit, telefon bimbit, perisian komputer, alat ganti kenderaan palsu, jam tangan dan ubat-ubatan serta barang berbahaya seperti kristal jeli yang terletak di bawah Akta Perlindungan Pengguna. 

Sementara itu, Othman berkata, KPDNKK Selangor menyerbu 336 premis membabitkan rampasan pelbagai barang tiruan bernilai RM1.4 juta tahun lepas, dan sehingga bulan ini, ia mencatat 114 kes dengan nilai rampasan RM6 juta. - BERNAMA 


No comments:

Post a Comment