My Add

Thursday 21 June 2012

MP BN syor syarikat alternatif penerbangan tambang murah

Tajuddin Abdul Rahman 
KUALA LUMPUR, RABU, 20 Jun, 2012: Beberapa Anggota Parlimen hari ini mencadangkan kepada kerajaan supaya mengeluarkan satu lagi lesen kepada syarikat lain bagi mengendalikan penerbangan tambang murah.

Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang dukacita dengan perubahan sikap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes yang didakwa mula menunjukkan keangkuhannya, berkata langkah itu bertujuan memberi peluang kepada syarikat lain untuk menawarkan perkhidmatan tambang murah.

"Saya memang sokong AirAsia dulu sebab ia memperlihatkan kebolehan seorang usahawan Malaysia menjayakan satu perusahaan dengan begitu berjaya sekali dalam bidang industri penerbangan. Harapan saya, beliau akan menjadi contoh yang baik kepada usahawan lain," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2012) 2012 di Dewan Rakyat hari ini.

Tajuddin berkata pandangannya terhadap Fernandes berubah apabila mendengar kenyataan beliau di televisyen yang mengugut kerajaan berhubung LCCT, dengan begitu berani sekali dan lantang, serta keengganannya bekerjasama dengan Malaysia Airports Berhad (MAB) sebagai pemaju LCCT.

"Kemudian, (Tony Fernandes) mendakwa bahawa beliau tidak dirundingi untuk projek itu dijayakan. Beliau ingat ini perkara kecil ke? LCCT ini melibatkan berbilion ringgit, beliau tidak boleh berkata begitu," katanya.

Tajuddin berkata hasrat Fernandes untuk membuka hub dan meluaskan operasi perniagaan AirAsia di Jakarta turut memberi mesej bahawa beliau akan meninggalkan Malaysia.

Selepas mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif barunya, Aireen Omar, untuk operasi Malaysia pada Isnin lepas, Fernandes berkata AirAsia memulakan dekad keduanya dengan pejabat baru serantau di Jakarta, yang akan memberi tumpuan terhadap peluasan kumpulan.

Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) berkata beliau bersetuju dengan cadangan supaya satu lagi lesen dikeluarkan bagi mewujudkan persaingan yang sihat dalam industri penerbangan.

Beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Kewangan perlu mengambil tindakan segera berhubung cadangan keperluan AirAsia memindahkan operasi ke KLIA 2 pada tahun depan.

Wee turut meminta kerajaan supaya tidak tunduk kepada syarikat penerbangan tambang murah itu dan sepatutnya membantu ahli perniagaan yang sebenar.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dengan lantang mahu kerajaan bertindak tegas dalam menangani isu perpindahan berkenaan.

"Apa sebenarnya masalah yang dihadapi AirAsia sehingga tidak mahu masuk KLIA 2. Dia cakap akan melihat daripada segi keselamatan tetapi siapa dia untuk menentukan keselamatan, dia atau pihak airport.

"Saya setuju dengan Ahli Parlimen Wangsa Maju kenapa Tony Fernandes diberi kebebasan untuk melakukan sesuatu sehingga mengugut kerajaan?" katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment