My Add

Thursday 14 June 2012

Najib lancar Huawei MGTC


*PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan penghulu ketika menerima kunjungan ketua masyarakat dari Telang Usan Baram, Sarawak pada majlis makan tengah hari di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
CYBERJAYA, KHAMIS, 14 Jun, 2012: Datuk Seri Najib Razak hari ini melancarkan Pusat Latihan Global Huawei Malaysia (MGTC), pusat latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) global pertama di luar China, yang bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai tempat latihan untuk profesional global dalam teknologi ICT generasi akan datang. 

"Hakikat bahawa Huawei memilih Malaysia bagi membangunkan pusat ini merupakan penghormatan besar, dan saya menganggapnya sebagai gambaran mengenai peranan kita (Malaysia) yang semakin penting dalam pasaran global," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, ia adalah hasil kepimpinan berhemat dan pintar yang menyaksikan Malaysia beralih daripada negara pertanian kepada kuasa ekonomi moden dan dinamik.

Najib berkata, ketika Malaysia berada di ambang untuk menjadi negara maju, yang disasarkan pada 2020, ia sudah memasuki fasa transformasi yang penting, dengan cabaran yang semakin besar. 

"Itu sebab mengapa dalam gerakan akhir ini, Malaysia mesti mengambil segala usaha untuk menggerakkan ekonomi berpacu inovasi dan berasaskan pengetahuan," kata Perdana Menteri ketika merasmikan Huawei MGTC, di sini hari ini. 

MGTC dibangunkan untuk menyediakan latihan telekomunikasi dan teknologi ICT terkini kepada pelanggan global Huawei dari seluruh Asia Pasifik dan Timur Tengah, Afrika serta Amerika Latin, dan ia dijangka menyumbang RM1.2 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar menjelang 2020. 

Najib berkata komitmen itu direalisasi menerusi pelbagai program bakat seperti Makmal Latihan Rujuan Huawei dalam Pusat Pembangunan K-Pekerja, yang ditubuhkan dengan kerjasama MDeC - MSC Malaysia MyUniAlliance, yang termasuk Melatih Tenaga Pengajar, kurikulum perisisan kursus dan Makmal Latihan Universiti Huawei, dengan usaha sama 10 universiti tempatan di seluruh Malaysia. 

Beliau berkata, program ini akan memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dilatih dan dilengkapkan dengan pengetahuan terkini dalam telekomunikasi dan ICT. 

Tahun lepas, Huawei, penyedia penyelesaian ICT utama global dengan perolehan dunia kira-kira US$35 bilion dan 150,000 pekerja, menandatangani perjanjian dengan kerajaan Malaysia untuk melatih 10,000 profesional ICT dalam tempoh lima tahun dan membangunkan bakat mereka bagi merealisasikan ekonomi dipacu inovasi dan pengetahuan. 

Hari ini, Huawei turut memeterai perjanjian dengan 10 universiti tempatan yang akan memulakan penubuhan 10 Makmal Latihan Universiti Huawei menerusi program MSC Malaysia MuUniAlliance (Huawei) di setiap universiti bagi memperkukuh minat dalam kalangan mahasiswa dalam bidang teknologi ICT generasi akan datang. 

Najib berkata, beliau memperkenal Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mengenal pasti 12 bidang utama yang berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi dan 131 Projek Permulaan untuk memulakan pembangunan merentas sektor-sektor berkenaan. 

Beliau berkata, matlamat ETP sangat mudah, untuk memacu pertumbuhan, pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan, dengan mengambil kira kompleksiti ekonomi moden, terutama hakikat bahawa teknologi digital terus mempengaruhi setiap aspek kehidupan kita, daripada perniagaan dan hiburan sehinggalah kepada komunikasi dan interaksi. 

"Ekonomi digital kini menyumbang lebih daripada satu pertiga daripada dagangan dunia manakala jumlah perbelanjaan ICT global tahun ini meningkat 3.7 peratus kepada US$3.8 trilion, dan atas sebab itulah ETP, Perbadanan Pembangunan Multimedia Development atau MDeC diamanahkan untuk memacu Digital Malaysia," katanya. 

Najib berkata, pelancaran pusat latihan itu juga membuktikan pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala antara China dan Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment