My Add

Sunday 17 June 2012

Najib ucap takziah Putera Mahkota Saudi mangkat

KENINGAU, AHAD, 17 Jun, 2012: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada kerajaan serta rakyat Arab Saudi atas kemangkatan Putera Mahkota Nayef bin Abdul Aziz Al Saud, semalam.

Najib berkata, Putera Nayef merupakan antara pemimpin Arab Saudi yang sangat prihatin dalam usaha mengekalkan hubungan dua hala yang baik antara kedua-dua negara.

"Saya masih ingat lagi pertemuan saya dengan Almarhum waktu saya menunaikan fardhu haji pada musim lalu yang mana baginda memberi sambutan yang sangat mesra pada saya.

"Saya sifatkan kehilangan baginda sebagai satu kehilangan besar dalam konteks hubungan akrab dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi," katanya.

Sementara itu, agensi berita asing melaporkan Putera Mahkota Nayef, yang juga timbalan perdana menteri, mangkat di luar negara.

Kenyataan daripada keluarga diraja memaklumkan Putera Mahkota Nayef mangkat di sebuah hospital di luar negara. Stesen televisyen Arab Saudi, Al-Arabiya kemudian mengesahkan baginda mangkat di Geneva, Switzerland.

Baginda dilantik sebagai Putera Mahkota pada Oktober 2011 selepas kemangkatan Sultan bin Abdul Aziz.

Putera Mahkota Nayef, yang berusia 78 tahun, sebelum ini merupakan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi semenjak 1975. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment