My Add

Monday 25 June 2012

NKRA perangi jenayah masuk fasa kedua: Hishammuddin

JOHOR BAHRU, ISNIN, 25 Jun, 2012: Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan kadar jenayah kini sudah memasuki fasa kedua pelaksanaannya, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

Salah satu cabaran yang dihadapi bagi melaksanakan NKRA tersebut, katanya ialah menarik lebih banyak sektor swasta untuk bekerjasama dengan kerajaan di dalam program transformasi yang sudah dijalankan.

Oleh yang demikian, beliau menggesa agar semua pihak termasuk sektor swasta untuk tampil bagi memperkasakan program yang sudah diperkenalkan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) itu.

"Kita sudah memasuki fasa kedua dan sudah sampai sejauh ini. Kita tidak boleh berpatah balik tetapi harus terus bergerak dan memandang ke hadapan," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi projek Sistem Respon Bersepadu, satu inisiatif pengurangan kadar jenayah bernilai RM95 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini. 

Sistem interaktif itu memberi pihak polis akses kepada rakaman sistem pemantauan CCTV agar dapat menyalurkan maklumat kepada anggota bertugas melalui pusat kawalan dalam usaha memerangi jenayah dan mengurangkan kadar jenayah di negeri ini. 

Demonstrasi selama empat minit itu menunjukkan seorang mangsa rompakan boleh membuat panggilan kecemasan dan memberikan butiran asas kepada polis yang boleh meninjau tempat kejadian melalui sistem CCTV dan mengesan penjenayah pada masa sebenar. 

Hishammuddin berharap untuk mendapat maklum balas daripada pihak yang terbabit seperti pusat panggilan kecemasan, pengendali CCTV dan pihak kerajaan tempatan dalam masa tiga minggu lagi supaya koordinasi di antara polis dengan pihak terbabit dapat dipertingkatkan lagi. 

"Saya mahu agar orang ramai lebih bersikap rasional dan bukannya emosional kerana agensi asing mengiktiraf bahawa kadar jenayah di negara ini sudah berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment