My Add

Tuesday 19 June 2012

Nur Ainul Hayah hidap kanser dapat simpati Perdana Menteri

*NUR Ainul Hayah hidap kanser dapat perhatian Perdana Menteri
NUR AINUL HAYAH

PEKAN, ISNIN, 18 Jun, 2012: Penderitaan seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit kanser pada usia muda di Tanjung Medang di sini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib yang memangku jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengarahkan Setiausaha Politiknya, Datuk Suhaimi Ibrahim supaya mengunjungi rumah Nur Ainul Hayah Mohd. Shahrizam, 3, untuk menghulurkan bantuan.

Kanak-kanak tersebut menerima bantuan berupa wang tunai RM5,000 dan hamper barangan keperluan harian seperti lampin pakai buang yang disumbangkan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah kementerian tersebut.

"Beliau selaku Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat telah meminta YKN menghulurkan bantuan segera bagi meringankan beban yang ditanggung ibu bapa kanak-kanak itu.

"Saya cukup terharu dengan keprihatinan Perdana Menteri yang terus mengarahkan kami ke sini setelah mendapat tahu penderitaan ditanggung adik Nur Ainul Hayah," katanya kepada pemberita di rumah kanak-kanak tersebut di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datuk Sayed A. Rahman Sayed Mohd.

Suhaimi berkata, pihaknya akan meneliti rekod perubatan kanak-kanak itu untuk mencari jalan bagi membantu memulihkan penderitaannya.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat juga akan membuat susulan bagi memberikan bantuan bulanan kepada ibu bapa kanak-kanak ini," katanya.

Sementara itu, ibu kanak-kanak malang tersebut, Khairul Hana Abdul Rashid, 35, berkata, sewaktu kelahirannya pada November 2009, Nur Ainul Hayah merupakan seorang kanak-kanak normal.

Namun, katanya, keadaan berubah apabila pada November lalu, anaknya telah disahkan menghidap penyakit kanser neuroblastoma.

"Pada awal November tahun lalu, anak kami mengalami bengkak badan dan lebam di bahagian mata. Saya dan suami membawa anak kami ke klinik dan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan untuk diperiksa, namun, doktor mengesahkan anak kami sihat.

"Selepas tidak menunjukkan perubahan, saya membawa anak kami ke Hospital Pakar Kuantan dan doktor mengesahkan anak kami diserang penyakit kanser," katanya.

Khairul Hana yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah syarikat swasta berkata, dia telah bercuti selama lima bulan manakala suaminya, Mohd. Shahrizam Wakiman, 34, berhenti kerja untuk menjaga puteri sulung mereka itu.

"Saya dan suami cukup berterima kasih kepada Perdana Menteri di atas bantuan ini," katanya.

Ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami kerana Nur Ainul Hayah masih melakukan rawatan susulan di HKL," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment