My Add

Sunday 17 June 2012

Pelbagai jenis dadah bernilai RM600,000 dirampas

KUALA LUMPUR, AHAD, 17 Jun, 201: Polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk Eramin 5 bernilai hampir RM600,000 untuk pasaran Lembah Klang dalam serbuan di sebuah rumah teres tiga tingkat dan sebuah kondominium di Bukit Idaman, Selayang semalam.

Dalam serbuan pertama ke sebuah rumah teres tiga tingkat yang diubah suai menjadi pusat hiburan ekslusif di kawasan Bukit Idaman itu kira-kira 1 pagi, polis menemui beberapa jenis dadah dalam premis berkenaan dan juga dalam sebuah kereta mewah jenis BMW yang diletakkan di hadapan rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abd. Rahim Abdullah hari ini berkata, lima lelaki dan dua wanita berumur antara 20-an hingga 50-an yang sedang berkaraoke di dalam premis berkenaan ditahan.

Salah seorang daripada wanita yang ditahan merupakan pelajar warga China berumur 21 tahun manakala yang lain antaranya bekerja sebagai penarik kereta dan penyelia tapak pembinaan, katanya.

"Rumah itu diubah suai dan dijadikan sebagai pusat hiburan ekslusif yang dikunjungi golongan tertentu. Bahagian dalam rumah dibahagikan kepada beberapa bilik sebagai bilik karaoke dan turut terdapat ruangan jakuzi,” katanya.

Tiga jam selepas serbuan ke atas rumah teres terbabit, polis kemudian memeriksa sebuah kondominium di kawasan yang sama dan menemui beberapa jenis dadah di unit berkenaan serta di dalam kereta jenis Toyota Alphard yang diletakkan di kawasan kondominium tersebut.

Seorang remaja lelaki berumur 16 tahun yang berada di rumah itu turut ditahan, katanya.

Dalam kedua-dua serbuan itu, polis merampas 37,000 biji pil eramin 5 termasuk dadah jenis ketamin, Eramin 5 dan ekstasi dalam bentuk serbuk.

"Kira-kira 400 paket dadah campuran ketamin, eramin 5 dan ekstasi berbentuk serbuk dibungkus dalam bungkusan minuman teh cina serta 15 paket dadah campuran yang berbentuk serbuk dibungkus dalam bungkusan minuman teh Lipton termasuk beberapa alatan menyedut serbuk dadah dan membungkus dadah dirampas.

"Kita juga merampas wang tunai berjumlah RM48,000 dan US$1,000,” katanya.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman tujuh hari.— BERNAMA

No comments:

Post a Comment