My Add

Friday 15 June 2012

Peluang rakyat temui pemimpin

Oleh Shamsul Kamal Amarudin
KAMUNTING, KHAMIS, 14 Jun, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan merasmikan Program Jelajah Janji Ditepati (JJD) di padang Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kamunting di sini, Ahad ini.

Beliau dijangka tiba di ADTEC kira-kira jam 10.45 pagi dalam lawatan sehari ke sini yang dimulai dengan program `walkabout' di pekan minggu Changkat Jering, diikuti lawatan ke gerai dan minum pagi bersama rakyat.

Selepas di ADTEC, Muhyiddin dijadualkan menunaikan solat Zuhur di Masjid Kurauwi di Batu Kurau, kira-kira 30 kilometer dari sini, sebelum menghadiri Jamuan Rakyat di Padang Astaka Batu Kurau bagi mengakhiri lawatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Datuk Mohamad Zahir Khalid, berkata pemilihan Kamunting sebagai destinasi JJD kali ini adalah satu penghormatan kepada penduduk kawasan berkenaan serta di sekitarnya termasuk di kawasan utara Perak.

Katanya, rakyat harus mengambil peluang itu untuk bersama pemimpin Kerajaan Pusat dan negeri bagi menghargai serta meraikan tradisi membela rakyat yang diamalkan selama ini.

“Kita berharap rakyat khususnya di Taiping, Bukit Gantang, Larut dan sekitar Perak Utara, menjadikan komitmen kerajaan menyelesaikan masalah rakyat ini dengan menghargainya dan turut serta memeriahkan program ini.

“Walaupun program diadakan di kawasan Kamunting, ia meliputi semua penduduk kawasan ini termasuk di Bukit Gantang, Taiping dan Batu Kurau, sekali gus membuktikan kerajaan tidak membezakan sesiapa dan berkhidmat untuk semua,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Dijangka kira-kira 50,000 orang hadir pada program bermula seawal jam 8 pagi hingga jam 10 malam itu. Sebanyak 96 khemah ‘Arabian’ dibina di padang berkenaan, tambahan 10 khemah berbanding program sama diadakan di Kulim, Kedah, baru-baru ini, selain tujuh khemah berbentuk modular tertutup.

Mohamad Zahir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Perak berkata, program JJD ini susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, turun padang ke utara Perak beberapa bulan lalu untuk melihat sendiri isu serta masalah rakyat di peringkat akar umbi. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment