My Add

Sunday 17 June 2012

Pembangkang bimbang Gelombang Biru: Muhyiddin:

*PENDUDUK setempat menggunakan kesempatan ini bertemu dan bersalaman dengan TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin pada program jamuan rakyat di Padang Astaka Batu Kurau

BATU KURAU, AHAD, 17 Jun, 2012: Pakatan pembangkang sengaja melemparkan tuduhan bahawa sistem pilihan raya di negara ini tidak betul dan dilaksanakan secara penipuan kerana mereka tahu kepimpinan Barisan Nasional (BN) kini mendapat sokongan penuh 'Gelombang Biru' untuk memimpin kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, 'gelombang' itu kini dirasai rakyat di seluruh negara, dan yang lebih penting, negeri yang dikuasai pembangkang.

"Di Pulau Pinang hari ini, sudah ada kesedaran di kalangan pengundi Cina,tidak ada pilihan parti yang lebih baik selain BN... orang Kelantan (pula) sudah bersemangat dengan 'gelombang merah'," katanya ketika berucap pada majlis Kenduri Rakyat di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau tahu ada kawasan yang dikuasai BN menjadi sasaran pembangkang untuk menabur 'janji alpa', memberi 'bintang' dan 'matahari jatuh ke riba' kerana pilihan raya semakin hampir.

Beliau berkata, kredibiliti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dikatakan ingin mengambil alih kepimpinan kerajaan, turut terjejas apabila masih gagal menafikan pelbagai tuduhan terhadapnya.

Katanya, kredibiliti Anwar juga semakin dipersoal apabila gagal menafikan tuduhan memiliki 20 akaun di luar negara berjumlah RM3 bilion.

Selain itu, Muhyiddin berkata anggota dan penyokong BN perlu ingat kedudukan kerusi dalam pilihan raya adalah penting kerana kekalahan atau kekurangannya boleh menyebabkan BN tidak dapat membentuk kerajaan atau menguasai dua pertiga Dewan Negeri atau Parlimen.

"Dalam pilihan raya, kerusi itu penting, BN pernah kalah dan menang. Kita tidak dapat peroleh dua pertiga di Dewan Rakyat. Ini membuktikan pilihan raya kita adil dan tidak ada penipuan," katanya.

Pada majlis Kenduri Rakyat itu, Timbalan Perdana Menteri bersama pemimpin BN dan tempatan menyertai rakyat menikmati jamuan makan tengah hari di Padang Astaka Batu Kurau.

Terdahulu, Muhyiddin yang dalam rangka lawatan sehari ke Perak, sempat mengadakan tinjauan mesra di Pasar Minggu Changkat Jering di Taiping dan menghadiri Program Jelajah Janji Ditepati di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Kamunting. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment