My Add

Thursday 7 June 2012

Pendapatan operasi LFSA meningkat kepada RM26 juta

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 Jun, 2012: Pendapatan operasi Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) bagi tahun fiskal yang berakhir pada 31 Disember 2011, meningkat kepada RM26.9 juta daripada RM23 juta dalam tempoh sama pada 2010. 

LFSA ialah badan kawal selia untuk menerajui dan menyelaraskan usaha memperkenalkan dan membangunkan Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa Labuan (LIBFC).

Pengerusinya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, disokong oleh lokasi strategik serta prasarana kewangannya, aktiviti perniagaan dan sektor perkhidmatan kewangan dalam LIBFC terus mencatatkan pertumbuhan positif dalam sektor perbankan, insurans dan insurans semula, kaptif dan pajakan.

"Momentum pertumbuhan bertahan pada 2011 meskipun persekitaran global yang mencabar," katanya pada taklimat media sempena pelancaran laporan tahunan LFSA di sini, hari ini. 

Zeti berkata, sektor perbankan menyaksikan peningkatan 24.1 peratus dalam jumlah pinjaman kepada AS$24.7 bilion (AS$1=RM3.16) daripada AS$19.9 bilion pada 2010 manakala jumlah aset naik kepada AS$38.3 bilion daripada AS$33.9 bilion sebelumnya. 

Jumlah premium sektor insurans meningkat sebanyak 33 peratus kepada AS$1.6 bilion daripada AS$1.2 bilion pada 2010 dan jumlah aset bertambah sebanyak 16.1 peratus kepada AS$3.6 bilion daripada AS$3.1 bilion. 

Aset pajakan, katanya, meningkat sebanyak 10.4 peratus kepada AS$27.6 bilion daripada US$25 bilion pada 2010. 
Jumlah aset perbankan Islam menambah kepada AS$1.5 bilion daripada AS$1.3 bilion pada 2010. 

Jumlah pembiayaan oleh perbankan Islam melonjak sebanyak 56.8 peratus kepada AS$294.6 juta, sumbangan takaful dan takaful semula naik 54.6 peratus kepada AS$459.5 juta dan instrumen Islam tersenarai meningkat 17.8 peratus kepada AS$8.6 bilion. 

Zeti berkata, dua bank, setiap satu dari Australia dan Ghana, memperoleh lesen untuk beroperasi dalam LIBFC manakala 22 lesen insurans baharu dan lima lesen dagangan dikeluarkan tahun lalu. 

Sektor kewangan dan perniagaan juga katanya, mencatatkan 59 syarikat pajakan baharu, tujuh syarikat amanah dan 35 yayasan tahun lalu. 

"Secara keseluruhannya, 651 syarikat baru diperbadankan dalam LIBFC tahun lepas, merupakan peningkatan 8.1 peratus dari 2010, menjadikan jumlah syarikat beroperasi di pusat kewangan dan perniagaan itu kepada 8,655 syarikat," katanya. 

Pada masa depan, beliau berkata, pihak berkuasa merancang untuk merealisasikan potensi strategik LIBFC untuk menyediakan kepada keperluan perniagaan domestik dan serantau, seperti yang digariskan dalam pelan tindakan sektor kewangan. 

Menurutnya, LIBFC yang memanfaatkan Labuan sebagai hab minyak dan gas dijangka turut berkembang sejajar dengan industri itu. 

"Terdapat potensi amat besar bagi LIBFC untuk menyediakan kepada keperluan perniagaan dan kewangan industri ini" katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment