My Add

Friday 15 June 2012

Penerjun Malaysia mampu raih pingat Olimpik London

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 15 Jun, 2012: Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengingatkan penerjun negara supaya tidak membuat kesilapan ketika saringan awal acara itu di Sukan Olimpik 2012 di London.

Setiausaha Kehormat ASUM Edwin Chong berkata, di atas kertas, penerjun negara terutama yang berpengalaman beraksi di edisi Olimpik sebelum ini, berpeluang cerah untuk meraih pingat acara masing-masing.

"Saya percaya atlet kita akan cuba sedaya upaya mereka di sana. Peluang ke peringkat akhir memang ada sekiranya mereka tidak membuat kesilapan pada kejohanan itu nanti," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Chong berkata, meskipun ratu terjun negara Pandelela Rinong menjadi sasaran meraih pingat emas pertama negara, beliau tetap yakin penerjun lain juga mempunyai peluang dan kelebihan masing-masing.

Setakat kini, lapan penerjun serta perenang perairan terbuka negara, Heidi Gan sudah menempah tiket ke London.

Selain Pandelela (10m individu, 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama), penerjun lain yang layak ke Olimpik London ialah Traisy Vivien Tukiet (10m platform individu), Cheong Jun Hoong (3m papan anjal seirama) dan Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal individu).

Turut layak Bryan Nickson Lomas (10m platform individu, 3m papan anjal individu dan seirama), Yeoh Ken Nee (3m papan anjal individu), Huang Qiang (3m papan anjal seirama) dan Leong Mun Yee (10m platform seirama).
Chong berkata, lapan penerjun itu kini menjalani latihan di China manakala Heidi sedang membuat persiapan di Perth, Australia.

Dalam pada itu, beliau berkata Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) akan mengumumkan senarai atlet renang yang layak ke London selewat-lewatnya 22 Jun ini.

"Perenang kita kini sedang beraksi di Kejohanan Asia Tenggara di Singapura dari 13 Jun hingga 17 Jun dan merupakan medan terakhir mereka untuk melayakkan diri ke London.

"Kita juga harap sekurang-kurangnya dua atlet renang negara akan terpilih nanti. Saya rasa perenang bagi acara jarak jauh mempunyai peluang," kata Chong. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment