My Add

Thursday 21 June 2012

Pengaruhi bekas askar lawan kerajaan dikesan

Oleh ANGELINA SINYANG
KUALA LUMPUR, RABU, 20 Jun, 2012: Pihak berkuasa mengesan ada individu tertentu dalam pembangkang cuba menghasut bekas-bekas askar yang kecewa kerana tidak mendapat wang pencen supaya membenci dan bangkit menentang kerajaan.

Sumber berkata, perbuatan itu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini setelah pembangkang kehilangan modal untuk menarik sokongan rakyat bagi memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Beliau berkata, individu berkenaan memang sengaja mengambil kesempatan daripada kekecewaan golongan itu kerana menyedari mereka mempunyai kemahiran ketenteraan tinggi yang boleh digunakan untuk menumbangkan kerajaan.

"Perbuatan mempengaruhi dan menghasut bekas tentera yang kecewa agar membenci kerajaan tidak boleh dibiarkan kerana golongan ini mempunyai kemahiran ketenteraan yang tinggi dan ia boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara jika disalah gunakan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, terdapat kira-kira 80,000 bekas askar yang tidak mendapat wang pencen kerana tempoh perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kurang daripada 21 tahun.

Sumber berkata, unsur kebencian terhadap kerajaan disebarkan kepada bekas-bekas tentera ini oleh individu terbabit melalui ceramah yang diadakan di seluruh negara.

Katanya, taktik terbaru digunakan pembangkang yang dikenali sebagai 'kemahiran massa' ini pernah digunakan oleh pengganas komunis untuk menentang kerajaan pada suatu ketika dahulu.

"Kemahiran massa ialah cubaan menghasut masyarakat yang tertindas supaya melawan kumpulan kaya dan berpengaruh.

"Dalam kes melibatkan bekas-bekas anggota tentera yang kecewa ini, golongan yang harus ditentang ialah kerajaan dan pemimpin yang memerintah iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," jelasnya.

Menurut sumber, antara isu dijaja pembangkang semasa ceramah untuk menanam kebencian terhadap Najib ialah dakwaan bakal menantunya, Daniyar Nazarbayev, warganegara Kazakhstan yang didakwa terlibat dalam penipuan.

Pembangkang juga menyebarkan khabar angin bahawa Najib telah menghabiskan lebih RM1 juta dalam dua hari lawatannya bersama rombongan sempena Forum Ekonomi Dunia Islam ke Kazakhstan pada Jun tahun lalu, yang didakwa menimbulkan kritikan apabila ia digunakan bagi merisik Daniyar.

Kata sumber lagi, selain berceramah, hasutan membenci pemimpin kerajaan turut disebarkan melalui internet menggunakan rangkaian media sosial seperti blog dan facebook.

"Pihak berkuasa sedang memantau aktiviti individu tidak bertanggungjawab ini. Pada masa sama, kita menasihatkan masyarakat agar jangan terlalu emosi dan mudah terpengaruh dengan kisah tidak benar yang disebarkan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment