My Add

Saturday 16 June 2012

Pengundi muda faktor penentu kemenangan BN - Khairy

SHAH ALAM, SABTU, 16 Jun, 2012: Pengerusi Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin menggesa semua sayap pemuda parti komponen menggiatkan usaha mendekati pengundi muda yang dilihat menjadi faktor penentu kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13. 

Beliau berkata usaha mendampingi pengundi muda, yang merangkumi 40 peratus daripada lebih 12 juta pengundi berdaftar di seluruh negara, perlu dibuat bukan sahaja menerusi program politik tradisi seperti ceramah malah program kemasyarakatan dan media baru untuk berinteraksi dengan mereka. 

"Mengikut kajian terbaru makmal Pemuda BN, sebanyak 62 peratus daripada jumlah pengundi muda berdaftar adalah pengundi atas pagar dan mereka menjadi faktor penentu kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pemuda PPP Kebangsaan di sini, hari ini. 

Turut hadir Presiden PPP Datuk Seri M.Kayveas dan Ketua Pemuda PPP Kebangsaan Harridz Mohan. 

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno, berkata antara usaha pihaknya untuk mendekati golongan muda ialah dengan melancarkan Sukarelawan Pemuda BN, satu daripada cabang jentera parti untuk membantu kempen pilihan raya umum akan datang.

Khairy berkata sukarelawan terpilih akan diberi tugas berkempen mengikut pengalaman, minat dan keperluan. 

Terdahulu, dalam ucapannya Khairy berkata BN harus membuktikan mereka bukan jaguh kampung sebaliknya jaguh untuk seluruh rakyat Malaysia termasuk di bandar dan luar bandar. 

Beliau berkata pujian patut diberi kepada kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah melaksanakan perubahan drastik terhadap landskap politik negara ini demi kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya. 

Pada majlis itu, Kayveas turut melancarkan projek baru Pemuda PPP Kebangsaan, Dylisis Rakyat 1Malaysia (DR1M) bertujuan membantu pesakit buah pinggang yang tidak berkemampuan untuk mendapat khidmat rawatan dialisis dengan kos rendah. 

Harridz pula akan mendaki gunung Everest bagi mengutip dana untuk membiayai kos operasi pusat dialisis yang akan ditubuh atas inisiatif Pemuda PPP di Klang kelak. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment