My Add

Wednesday 20 June 2012

Pengundi perlu sepakat beri laluan untuk perubahan di Marang

                *PASAR Bandar Marang dan pembangunan di sekitarnya.

MARANG, SELASA, 19 Jun2912: Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turun padang ke negeri ini dan turut bersama rakyat dalam satu majlis di kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang dalam Parlimen Marang.

Sambutan terhadap kunjungan pemimpin negara itu di luar jangkaan penganjur, malah pimpinan negeri sendiri dengan begitu ramai yang hadir pagi itu, apatah lagi di kawasan yang dikuasai pembangkang selama tiga dekad.

Di kawasan itu, bendera parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menerajui negeri ini tidak mudah untuk dipacak dan direntang kerana ia sering mengundang pertelingkahan.

Ramai di kalangan warga Parlimen Marang khususnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang yang sudah sekian lama diwakili oleh pembangkang semakin sedar mereka perlukan perubahan.

Selama ini, mereka sekadar memilih personaliti dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diberi kepercayaan menduduki kerusi DUN dan Parlimen, namun sebagai wakil rakyat sumbangan beliau terhadap kesejahteraan penduduk setempat makin dipersoal.

Ada kalangan penduduk yang ditemui berkata, sumbangan Abdul Hadi hanyalah sebagai 'memeriahkan' ceramah Pas di pentas dan masjid selain memecahbelahkan orang Melayu dan menghakis kuasa politik umat Islam.

Kerusi Parlimen Marang bukanlah terlalu kebal kerana Abdul Hadi pernah dua kali ditewaskan dan kerusi Rhu Rendang boleh digugat jika pengundi sepakat memberi laluan untuk perubahan.

Selama kira-kira 30 tahun diwakili pemimpin Pas itu, pemimpin UMNO setempat terpaksa berperanan sebagai wakil rakyat bagi membela nasib masyarakat di situ terutama aspek kebajikan dan pembangunan.

Abdul Hadi mula bertanding pilihan raya pada 1978 di DUN Marang tetapi beliau kalah dengan kekurangan 64 undi sahaja kepada calon Barisan Nasional, Tengku Zahid Tengku Musa.

Bagaimanapun pada pilihan raya 1982 beliau mengalahkan Tengku Zahid dengan majoriti 320 undi. Pada 1986, beliau menang sekali lagi di DUN Rhu Rendang (nama baru DUN Marang selepas persempadanan semula).

Namun, beliau tewas di Parlimen Marang dengan majoriti tipis. Beliau kemudiannya berjaya memenangi Parlimen Marang pada pilihan raya 1990, 1995, 1999 dan seterusnya selain mengekalkan DUN Rhu Rendang hingga kini.

Setelah kemenangan Pas menawan Terengganu pada November 1999, Abdul Hadi dilantik sebagai Menteri Besar sehingga Mac 2004 sebelum Terengganu kembali ke tangan Barisan Nasional (BN) sampai sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Bukit Rhu Rendang, Wan Kamaludin Wan Chik berkata, selama Abdul Hadi diberi amanah menjadi wakil rakyat, beliau tidak pernah menjejakkan kaki ke Kampung Bukit Rhu Rendang.

"Kalau beliau datang ke sini, saya akan rakam kesan tapak kaki beliau dan hantar ke muzium untuk dipamerkan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Wan Kamaludin berkata, penduduk di DUN berkenaan amat mengharapkan kawasan itu terus membangun dan berubah wajah di bawah kepimpinan kerajaan BN.

Bagi beliau, selama di bawah 'pemerintahan' Pas, kawasan itu terus terkebelakang berbanding kawasan lain.

Beliau seterusnya percaya BN mampu merampas semula Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berdasarkan kerjasama padu kalangan penyokong UMNO dan BN di peringkat akar umbi.

"Agenda kita adalah untuk membantu UMNO merampas semula Rhu Rendang dan Parlimen Marang. Dengan sikap dan pendekatan terbuka kita, ada kalangan fanatik Pas sudah memberi respons positif untuk turut menyertai kita.

"Saya juga yakin, faktor masalah moral Anwar Ibrahim serta krisis kepimpinan dalaman Pas dan pakatan pembangkang sekarang akan mendorong ramai penyokong Pas menyebelahi UMNO dan BN," ujarnya.

Bagi Pegawai Penyelaras Pembangunan DUN Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku pula, sesudah tujuh kali pilihan raya dan selama 30 tahun Abdul Hadi menjadi wakil rakyat sehingga sekarang, bukan saja kawasan itu terkebelakang, malah perpecahan di kalangan penduduk terus ketara.

Ia dipercayai bermula sejurus fatwa yang dikeluarkan menerusi Amanat Haji Hadi di Banggol Peradong yang sehingga ke hari ini telah memesongkan akidah umat Islam dan berpecah belah sesama sendiri.

Menurutnya, kesan daripada fatwa tersebut, timbul pelbagai masalah seperti solat dua imam dalam satu kariah, pernikahan didakwa tidak sah dan sebagainya.

"Dari segi pembangunan, tidak satupun yang boleh dibanggakan. Tiada langsung pembangunan digerakkan Abdul Hadi sepanjang menjadi wakil rakyat sejak 1982 sehinggalah sekarang.

"Biarpun pernah menjadi Menteri Besar selama sepenggal, beliau tidak menggunakan kedudukannya ketika itu. Banyak isu rakyat termasuk isu tanah di Gong Cempedak (Marang) tidak dapat diselesaikan. Tiada sebuah masjid pun dibina," jelas Nik Dir.

Biarpun menyedari kepayahan berada di bawah Pas, UMNO dan BN tetap berusaha habis-habisan untuk melaksanakan segala kemudahan dan pembangunan demi memenuhi keperluan rakyat khususnya golongan muda yang mengharapkan suatu kehidupan yang lebih kondusif.

Selaku wakil kepada kerajaan negeri dan parti, Nir Dir berusaha untuk tidak mengecewakan harapan rakyat biarpun ia suatu tanggungjawab berat untuk mengembalikan keyakinan.

Menurut Nik Dir, mereka tidak diketepikan, pelbagai inisiatif dilakukan termasuk usaha mendapatkan peruntukan melaksanakan projek perumahan rakyat selain prasarana seperti penyediaan bekalan air dan sistem perparitan untuk keperluan penduduk.

Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said telah meluluskan permohonan serta peruntukan bagi projek berkenaan termasuk memperuntukkan lebih RM10 juta untuk bekalan air serta RM12 juta bagi pembinaan longkang.

Begitulah perancangan membangunkan kawasan berdekatan muara Sungai Marang untuk dijadikan pusat reaksi Taman Air di Pulau Kekabu yang dijangka membabitkan kos antara RM5 juta dan RM6 juta.

"Kerajaan juga sedang membangunkan kawasan di Seberang Marang dengan premis kedai, hotel, resort, rumah mampu milik termasuk apartmen di samping mewujudkan dataran Marang di Kelulut.

"Dataran Marang akan menjadi tempat strategik yang menghadap Pulau Kapas dan ia mampu menjadi tarikan pengunjung serta pelancong asing menikmati keindahan pulau berkenaan,'' katanya.

Katanya, Kampung Paya juga salah satu potensi dari sudut pelancongan yang boleh dimajukan sebagai kawasan taman tema.

Selain itu, kerajaan negeri juga meluluskan pembinaan 1,000 rumah mampu milik di Bukit Gasing dengan setiap sebuah dijual antara RM60,000 dan RM70,000 dan dijangka siap antara dua hingga tiga bulan lagi.

Begitu juga dengan cadangan pembinaan 386 pelbagai unit kediaman di Kampung Kelulut yang terdiri daripada rumah kedai, banglo, teres satu dan dua tingkat serta apartmen bagi keperluan penduduk.

Selaras dengan bandar Marang sebagai pusat pentadbiran daerah, kerajaan turut merancang membangunkan kawasan Bukit Kor dengan pembinaan hospital daerah di samping pembinaan pusat kesihatan daerah berdekatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

Di samping itu, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Pejabat Pendaftaran, bangunan mahkamah baru juga akan dibina di sekitar bandar Marang agar lebih tersusun dan persekitarannya dapat menaja ekonomi.

''Pada masa ini, banyak jabatan dan agensi kerajaan masih menumpang dan menyewa. Manakala Pasar Marang juga sunyi kerana tidak mampu menjadi pusat tumpuan dan ini perlu diubah,'' katanya.

Selain itu, usaha juga dibuat agar sebuah sekolah berasrama penuh dibina di sini bagi pendidikan anak tempatan di samping membantu ke arah kewujudan sebuah pusat pertumbuhan baru.

Nik Dir berkata, paling mustahak, faktor kekuatan politik amat penting untuk merampas semula Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang pada PRU-13 dan berdasarkan senario sekarang, beliau optimis hasrat itu bakal menjadi kenyataan.

"Berkat usaha gigih kita selama ini, insya-Allah kita ada peluang untuk cipta sejarah merampas semula Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang daripada pembangkang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment